'Saya nampak jasad kanak-kanak terapung

Azmi Syairi (kiri) bertemu dengan pihak bomba yang turut sama dalam operasi mencari mangsa. FOTO: SINAR HARIAN/ADILA SHARINNI WAHID.
Azmi Syairi (kiri) bertemu dengan pihak bomba yang turut sama dalam operasi mencari mangsa. FOTO: SINAR HARIAN/ADILA SHARINNI WAHID.
A
A
A

BACHOK - Seorang pekerja swasta melihat satu jasad kanak-kanak terapung sebelum berlari ke arah ombak untuk cuba menariknya di Pantai Kandis, Kampung Teko Air Merah, di sini pada Ahad.

Azmi Syairi Ismail, 39, berkata, ketika itu, dia bersama dua anaknya berusia tujuh dan 10 tahun bersiar-siar di pantai tidak jauh dari rumah ibu bapanya.

Menurutnya, dia yang berada kira-kira 50 meter dari pantai tiba-tiba ternampak sekujur tubuh terapung dan dipukul ombak.

“Saya berdebar-debar dan terus berlari ke arah kanak-kanak itu sambil berulang kali menyebut Subahanallah dan cuba sedaya upaya untuk menariknya ke darat.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Pakar USM di Kubang Kerian, Kota Bharu. - FOTO SINAR HARIAN/ADILA SHARINNI WAHID.
Mayat mangsa dihantar ke Hospital Pakar USM di Kubang Kerian, Kota Bharu. - FOTO SINAR HARIAN/ADILA SHARINNI WAHID.

“Tetapi ombak kuat, saya tidak boleh capai mangsa dan menunggu dia hanyut ke gigi air sebelum memanggil pihak polis yang berada sejauh enam kilometer di pantai sama,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi penemuan mayat kanak-kanak terbabit pada Ahad.

Kanak-kanak terbabit, Muhd Naufal Arshad Muhd Aiman Hafiz, 8, ialah mangsa yang lemas selepas turun dari benteng batu semasa beriadah di pantai itu bersama ibunya, Siti Nur Shahidah Muhammad, 33, dan tiga anak yang lain serta dua anak jiran pada Sabtu.

Artikel Berkaitan:

Azmi Syairi memberitahu, dia sedia maklum berhubung kejadian yang menimpa mangsa dan terdetik untuk membantu mencari mangsa di pantai terbabit.

Dia yang bekerja di Klang, Selangor sepatutnya pulang pada Ahad selepas tamat bercuti di kampung halaman.

“Jadi kebiasaan penduduk di kampung ini apabila berlaku kejadian lemas, kami akan sama-sama membantu setakat mampu.

Benteng batu yang menjadi tempat terakhir mangsa berada sebelum turun ke air dan lemas. FOTO: SINAR HARIAN/ADILA SHARINNI WAHID.
Benteng batu yang menjadi tempat terakhir mangsa berada sebelum turun ke air dan lemas. FOTO: SINAR HARIAN/ADILA SHARINNI WAHID.

“Cuma kali ini lebih sedih dan luluh hati kerana mangsa yang masih kecil seperti anak-anak saya juga,” katanya.

Mayat anak kedua daripada empat beradik itu ditemukan pada jam 11.15 pagi dan dibawa ke Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (USM) untuk bedah siasat.

Dalam pada itu, pihak keluarga memberitahu jenazah dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Pasir Hor, Kota Bharu lewat petang Ahad sebaik bedah siasat selesai.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!