Ibnu Rasyeed dipilih Ketua Pemuda UMNO Bukit Gantang baharu

Mohammad Sollehin (empat dari kiri) mengangkat tangan Ibnu Rasyeed yang memenangi pemilihan semula bagi jawatan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Bukit Gantang sempena Mesyuarat Khas Pemilihan Pemuda UMNO Bahagian Bukit Gantang yang diadakan pada Ahad.
Mohammad Sollehin (empat dari kiri) mengangkat tangan Ibnu Rasyeed yang memenangi pemilihan semula bagi jawatan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Bukit Gantang sempena Mesyuarat Khas Pemilihan Pemuda UMNO Bahagian Bukit Gantang yang diadakan pada Ahad.
A
A
A

TAIPING - Exco Majlis Belia Malaysia (MBM), Ibnu Rasyeed Mat Isa dipilih sebagai Ketua Pemuda UMNO Bahagian Bukit Gantang yang baharu dalam Mesyuarat Khas Pemilihan Pemuda UMNO Bahagian Bukit Gantang yang diadakan pada Ahad.

Ibnu Rasyeed berjaya meraih 59 undi menewaskan Mohd Syaimein Rosli yang memperoleh 35 undi daripada 94 perwakilan yang mengundi.

Keputusan tersebut diumumkan Ketua Pemuda UMNO Perak, Nazirul Jamaluddin yang turut mengumumkan 15 Ahli Jawatankuasa (AJK) Pemuda UMNO Bahagian Bukit Gantang yang menang pada pemilihan itu.

Ketika ditemui pemberita, Ibnu Rasyeed berkata, tumpuan selepas ini terarah kepada menyatukan semula ahli-ahli Pemuda UMNO bahagian dan meneruskan usaha mendekati pengundi muda.

"Yang penting kita nak kuatkan balik ukhuwah bersama ahli di peringkat cawangan-cawangan, jawatankuasa Pemuda UMNO Bahagian kita nak supaya apa yang lepas itu lepas, kita fokus ke hadapan kerana kita nak hadapi pilihan raya tak lama.

"Apabila kita kuat, kita bersatu, insya-ALLAH benda itu lebih mudah. Jadi kita nak 'target' supaya bagaimana golongan muda dapat bersama UMNO," katanya selepas diumumkan sebagai Ketua Pemuda UMNO Bahagian Bukit Gantang di Pejabat UMNO Bahagian Bukit Gantang di sini pada Ahad.

Hadir sama pada majlis itu, Ketua UMNO Bahagian Bukit Gantang, Mohammad Sollehin Mohamad Tajie.

Ibnu Rasyeed berkata, pihaknya juga akan berusaha menambah cawangan Pemuda UMNO daripada 33 kepada 50 seperti mana dihasratkan Ketua UMNO Bahagian.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Mohammad Sollehin berkata, pemilihan semula Ketua dan AJK Pemuda UMNO Bahagian Bukit Gantang dilaksanakan susulan berlaku salah faham di peringkat dalam sayap pemuda UMNO itu.

Menurutnya, susulan itu dua AJK Pemuda UMNO Bahagian Bukit Gantang menawarkan diri bertanding menggantikan Ketua Pemuda UMNO bahagian itu sebelum ini, Mohamad Adri Adha Mohamad.

"Bagi saya selepas pemilihan ini adalah untuk menyatukan balik keluarga, sudah tentu bila wujud krisis, akan datang peluang dan ini harus diambil untuk menyatukan keluarga ini dan membawa bahtera ini terus ke depan.

"Mereka mempunyai tugas yang besar dalam tempoh dua tahun mendatang untuk memastikan bahawasanya sokongan orang muda terutama kepada UMNO dan Barisan Nasional ini meningkat," katanya.

Pada 17 Oktober lalu sebuah portal berita melaporkan Pemuda UMNO Bukit Gantang didakwa ‘lumpuh’ apabila hampir semua AJK meletak jawatan kerana dipercayai tidak berpuas hati dengan prestasi Mohamad Adri Adha.

Laporan tersebut turut mendakwa hanya Mohamad Adri Adha kekal dalam jawatankuasa itu selepas Naib Ketua Pemuda serta barisan AJK bahagian terbabit meletak jawatan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!