Nur Izzuddin-Sze Fei akhiri WTF sebagai naib juara
BEREGU lelaki profesional negara, Nur Izzuddin Rumsani-Goh Sze Fei terlepas gelaran juara Jelajah Dunia Akhir (WTF) 2024 di China sebentar tadi.
Pasangan nombor tujuh dunia itu terpaksa akur tewas kepada Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen pada aksi final di Hangzhou.
Pujian bagaimanapun wajar diberikan kepada mereka yang memaksa pasangan Denmark itu bekerja keras sehingga ke permainan penentuan.
Dalam aksi di Gimnasium Olimpik Hangzhou itu, Astrup-Rasmussen bermula positif apabila menang set pertama 21-17.
Tersentak keputusan itu, Nur Izzuddin-Sze Fei bangkit pada permainan kedua menerusi kemenangan 21-17 untuk membawa perlawanan ke aksi penentuan.
Namun momentum tersebut gagal diteruskan apabila mereka terpaksa akur tewas kepada pasangan nombor tiga dunia itu 21-11 dalam masa 64 minit permainan.
Keputusan berkenaan melebarkan lagi jurang kemenangan Astrup-Rasmussen kepada 8-2 ke atas Nur Izzuddin-Sze Fei.
Menerusi kemenangan itu, mereka meraih wang tunai AS$210,000 (RM934,553), manakala pasangan negara membawa pulang AS$100,000 (RM445,025).
Sebagai rekod, Izzuddin-Sze Fei mencipta sejarah muncul beregu lelaki pertama negara mara ke final sejak WTF diperkenalkan pada 2018 bagi menggantikan Siri Super Final.
Biarpun terlepas gelaran juara, Nur Izzuddin-Sze Fei dijangka mengambil alih status beregu nombor satu negara dari Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang memegang gelaran itu sejak lima tahun lalu.
Nur Izzuddin-Sze Fei yang berstatus ketujuh dunia dijangka melonjak empat anak tangga ke ke tempat ketiga - tertinggi sepanjang karier mereka.
Kedudukan tersebut menjelang kemas kini ranking Persekutuan Badminton Dunia (BWF) pada Selasa ini.
Lonjakan tersebut dibantu hasil kejayaan mereka melangkah ke pentas final WTF itu dan sebagai rekod Aaron-Wooi Yik ketika ini berstatus kelima dunia.
Nur Izzuddin-Sze Fei sebelum ini meraih tiga gelaran Jelajah Dunia - Terbuka Jepun, Terbuka China dan Terbuka Artik.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!