Pindaan perlembagaan PKR beri lebih keadilan buat cabang
SHAH ALAM - Pindaan perlembagaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan memberi lebih keadilan buat cabang dalam memilih pemimpin semasa mengundi di kongres nasional tahun depan.
Ketua Penerangan PKR, Fahmi Fadzil berkata, ia kerana sesetengah cabang memiliki anggota lebih ramai sekitar puluhan ribu, tetapi di peringkat lain kurang daripada itu.
Menurut beliau, penerapan elemen pendigitalan turut ditekankan bagi memudahkan peringkat cabang menjalani proses pengundian secara dalam talian.
"Jadi, ada beberapa prinsip yang ditegaskan dan harapan saya adalah perkara ini akan memulihkan keterlibatan semua anggota daripada pelbagai kaum, negeri serta latar belakang dalam memilih pimpinan tertinggi.
"Ada perwakilan yang akan hadir secara fizikal dan ada juga yang mengundi di cabang secara dalam talian.
"Formula dari segi peratusan kaum atau etnik akan diputuskan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) berdasarkan daftar pemilih Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) minimum enam bulan terdahulu," katanya.
Fahmi berkata demikian ketika ditemui media selepas Kongres Khas Keadilan bertempat di Dewan Raja Muda Musa, di sini pada Ahad.
Sebelum ini, Setiausaha Agung PKR, Dr Fuziah Salleh memaklumkan, langkah berkenaan merupakan hasil perbincangan di peringkat MPP mengenai reformasi pemilihan bagi memastikan kredibiliti pemimpin parti.
Terbaharu, katanya, Kongres Khas Keadilan yang melabuhkan tirai hari ini menyaksikan dua pertiga perwakilan bersetuju dan meluluskan semua pindaan perlembagaan PKR.
Jelas beliau, pindaan tersebut antara lain adalah berhubung pemilihan parti iaitu meningkatkan jumlah perwakilan yang akan mengundi bagi enam jawatan tertinggi dan 20 anggota MPP di Kongres Nasional.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!