Annuar Musa akui kagum dengan Tun M walau pernah jadi pembangkang

Annuar ketika kunjungan ke kediaman Tun M pada Ahad. Foto: Facebook Tan Sri Annuar Musa
Annuar ketika kunjungan ke kediaman Tun M pada Ahad. Foto: Facebook Tan Sri Annuar Musa
A
A
A

SHAH ALAM - Pengerusi Muafakat Nasional (MN), Tan Sri Annuar Musa mengakui masih mengagumi bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad walaupun pernah berpisah dan berada dalam parti yang berbeza.

Beliau berkata, Dr Mahathir tetap dilihat sebagai negarawan yang ulung, mentor utama dan sumber inspirasi perjuangan yang dikagumi.

"Petang ini saya berkunjung hormat ke kediaman Tun dan Tun Siti Hasmah Mohd Ali di Seri Kembangan sambil minum petang. Seperti biasa saya dapat belajar banyak perkara setiap kali bersama Tun.

"Saya antara orang bernasib baik diangkat menjadi anggota Kabinet Tun pada 1990. Pernah berpisah dan berada dalam parti yang berbeza, malah saya menjadi pembangkang di Parlimen semasa Tun menjadi Perdana Menteri kali kedua.

"Tetapi saya tetap melihat Tun sebagai negarawan yang ulung, mentor utama dan sumber inspirasi perjuangan yang amat saya kagumi dan kasihi," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Ahad.

Tambah Annuar, perbualan beliau bersama Dr Mahathir sentiasa memfokuskan mengenai masa depan negara dan rakyat terutama orang Melayu dan bumiputera.

"Tidak ketinggalan isu antarabangsa khususnya Palestin dan negara Islam lainnya.

"Kami berkongsi pendapat dalam banyak perkara. Ada ketika Tun tiba-tiba sebak bila menyentuh harapannya untuk masa depan orang Melayu dan Malaysia. Sangat kuat patriotismenya.

Artikel Berkaitan:

"Doa saya semoga Tun dan Tun Siti Hasmah sentiasa dalam rahmat ALLAH SWT, diberi kesihatan utk terus menabur jasa dan bakti pada agama bangsa dan negara," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!