Tang Jie-Ee Wei naib juara Jelajah Dunia Akhir
IMPIAN beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei untuk melakar sejarah menjadi wakil pertama negara muncul juara Kejohanan Badminton Jelajah Dunia Akhir (WTF) di China tidak kesampaian.
Pasangan nombor lapan dunia itu terpaksa akur tewas kepada nama besar, juara Sukan Olimpik Paris 2024 dari China, Zheng Si Wei-Huang Ya Qiong dalam aksi final di Gimnasium Olimpik Hangzhou sebentar tadi.
Pujian wajar diberikan kepada Tang Jie-Ee Wei apabila memberi tentangan sengit sebelum menyerahkan mahkota kejuaraan kepada pasangan berstatus nombor tiga dunia itu.
Pasangan tuan rumah dibantu sokongan padu ribuan penyokong memulakan set pertama dengan langkah kanan apabila menang 21-18, biarpun ditentang hebat gandingan negara.
Menjengah pada permainan kedua, Tang Jie-Ee Wei memperkemaskan corak permainan mereka dan ia membuahkan hasil sebelum menang 21-14 untuk mengheret saingan ke set penentuan.
Gandingan negara cuba meneruskan momentum positif menerusi aksi bertenaga, namun pengalaman memisahkan mereka yang terpaksa akur tewas 17-21 kepada Si Wei-Huang Ya Qiong dalam tempoh 75 minit permainan.
Keputusan tersebut melebarkan jurang kemenangan Si Wei-Ya Qiong kepada 4-0 ke atas Tang Jie-Ee Wei.
Menerusi kemenangan itu, Si Wei-Ya Qiong meraih wang tunai AS$210,000 (RM934,553), manakala Tang Jie-Ee Wei membawa pulang AS$100,000 (RM445,025).
Saingan tersebut juga menjadi pentas final terakhir buat Si Wei-Ya Qiong.
Biarpun baru berusia 27 tahun, Si Wei sebelum ini mengumumkan akan bersara selepas berakhir saingan WTF tahun ini.
Tang Jie-Ee Wei mengesahkan kemaraan ke final buat kali pertama selepas menewaskan rakan senegara, Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie 21-15, 21-12 pada aksi separuh akhir.
Si Wei-Ya Qiong pula mara juga hasil kemenangan ke atas rakan senegara, Jiang Zhen Bang-Wei Ya Xin 21-11, 21-18 dalam satu lagi aksi separuh akhir.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!