Anwar tegur ahli Parlimen PKR terperangkap sentimen pembangkang
SHAH ALAM - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegur tindakan segelintir pimpinan dan ahli Parlimen Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang sering terperangkap dengan sentimen dimainkan pembangkang.
Menurutnya, ada dalam kalangan mereka tergamak menyatakan belas kasihan terhadap golongan yang pernah mencuri wang rakyat.
Beliau menegaskan, pimpinan dan ahli Parlimen PKR sepatutnya bingkas menjawab serta melawan dakwaan pembangkang dengan fakta, umpamanya kegagalan mempertahankan kedaulatan negara dalam kes Pulau Batu Puteh.
"Beri penjelasan segera kepada rakyat terhadap sentimen dangkal kononnya Melayu dan Islam terancam ketika ini, sedangkan hakikatnya hanya mereka yang mencuri berbilion ringgit wang rakyat terancam di bawah pimpinan Kerajaan Madani.
"Setiap anggota atau pimpinan PKR perlu terus membela nasib rakyat serta bekerja dengan baik.
"Jawatan yang disandang ini bukan penyelesaian, tetapi ruang untuk melaksanakan cita-cita dan perjuangan kita," katanya.
Anwar berkata demikian menerusi satu hantaran di Facebook selepas menghadiri Kongres Khas Keadilan yang diadakan secara tertutup di Dewan Raja Muda Musa, di sini pada Ahad.
Sementara itu, Anwar menegaskan, PKR selaku parti yang amat menjunjung tinggi prinsip demokrasi perlu mengadakan pemilihan dengan kadar segera bagi membolehkan proses memilih pemimpin berlangsung.
Tambah beliau, barisan kepimpinan parti mesti melibatkan gandingan baharu dan lama memandangkan dua pertiga perwakilan bersetuju serta meluluskan usul pindaan perlembagaan.
"Namun, pimpinan muda usah gelojoh apabila diberi mandat.
"Ia kerana pengalaman getir pimpinan lalu yang dihina, ditekan dan dianggap musuh negara suatu ketika dahulu yang mengizinkan parti kukuh bertapak sehingga ke saat ini," ujarnya lagi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!