Institut Madina bina kampus baharu di Seri Iskandar
PARIT - Institut Madina yang berpangkalan di Cape Town, Afrika Selatan akan membuka cawangan universiti di Seri Iskandar di sini.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, kerajaan negeri bersetuju menerima tawaran bagi pembukaan sebuah institusi pengajian antarabangsa dalam pengajian Islam.
"Tawaran itu dikemukakan oleh pengasasnya, Shaykh Muhammad Yahya Al Ninowy pada Persidangan Pemikiran dan Tamadun Islam Sedunia (WCIT) 2024, Julai lalu.
"Namun, kita minta pihak beliau menghadap Sultan Perak kerana tidak mahu bersaing dengan Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) tetapi Naib Cancelornya, Profesor Datuk Dr Wan Sabri Wan Yusof mengatakan pembukaan itu bukanlah suatu persaingan sebaliknya ia saling melengkapi," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada program Jom Healing peringkat Negeri Perak di Pulau Cempaka Sari di sini pada Ahad.
Menurut beliau, suatu lawatan ke universiti berkenaan di Cape Town pada 12 Januari depan akan dilaksanakan bagi urusan selanjutnya.
"Tawaran itu diberi melalui Yayasan Perak maka proses melibatkan tapak dan selanjutnya akan dipohon oleh Badan Berkanun Negeri berkenaan.
"Kelulusan tanah dan kajian akan dilakukan malah, pihak kita telah memohon kepada Kementerian Pendidikan Tinggi dan semua berkaitan undang-undang telah dilengkapkan tinggal bangun bangunan sahaja," katanya.
Institut Madina mempunyai kampus sedia ada di Afrika Selatan, United Kingdom, Amerika Syarikat, Kanada, dan Norway terkenal dengan reputasinya yang cemerlang dalam pengajian Islam.
Kurikulum institut berkenaan merangkumi pelbagai mata pelajaran daripada pengajian al-Quran dan Hadis hingga kepada fiqh Islam dan kerohanian.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!