Polis buka siasatan dalaman terhadap anggota disyaki tunjuk isyarat lucah
KUALA LUMPUR - Polis menjalankan siasatan dalaman terhadap seorang anggotanya yang didakwa menunjukkan isyarat lucah kepada seorang wanita dalam satu protes di ibu negara, Jumaat lepas.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, pihaknya sudah mengenal pasti anggota berkenaan yang kini bertugas di dalam kawasan di ibu negara.
"Siasatan telah dimulakan walaupun polis tidak menerima laporan berhubung perkara itu," katanya ketika dihubungi hari ini.
Terdahulu, tular satu hantaran menerusi media sosial Instagram oleh seorang wanita yang mendakwa seorang anggota polis menunjukkan isyarat lucah kepadanya, ketika wanita itu sedang mengambil gambar dalam satu protes mengenai hak asasi manusia di sini.
Wanita berkenaan turut mendakwa isyarat yang ditujukan kepadanya itu diulang beberapa kali oleh anggota polis terbabit bagi memastikan ia dapat dilihat. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!