Pemilihan Bersatu Kuala Terengganu berdepan pembatalan
KUALA TERENGGANU - Mesyuarat Persidangan Pemilihan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Kuala Terengganu berdepan dengan pembatalan selepas enam bantahan salah laku dikemukakan hari ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti Negeri (JPPN) Terengganu, Datuk Aziz @ Ibrahim Awang berkata, bantahan yang diterima pihaknya melibatkan pelbagai kesalahan antaranya kertas undi diagihkan secara pukal kepada pemilih, tidak melakukan semakan keahlian dan petugas dipengaruhi calon.
Susulan itu katanya, JPPN Terengganu akan membuka kertas siasatan dan hasil siasatan serta cadangan akan diserahkan kepada JPP Pusat.
"Memandangkan banyak bantahan diterima dan siasatan akan dilakukan, kita tidak mengiktiraf dan mengesahkan kemenangan calon yang bertanding termasuk jawatan Ketua Bersatu Bahagian Kuala Terengganu.
"Pihak JPPN akan kemukakan setiap bantahan dan hasil siasatan berserta cadangan termasuk membatalkan mesyuarat pemilihan akan dipanjangkan kepada JPP Pusat," katanya pada sidang media di Pejabat Bersatu Terengganu di sini hari ini.
Turut hadir, Setiausaha Kerja Bersatu negeri, Rusmizan Awang dan Setiausaha JPP Bahagian Kuala Terengganu, Saharizal Abd Samad.
Mengulas lanjut, Aziz berkata, pihaknya menjangkakan siasatan akan mengambil masa selama dua hari sebelum dihantar ke JPP Pusat untuk tindakan selanjutnya.
Sementara itu katanya, sebanyak tiga bahagian mengadakan pemilihan hari ini iaitu Kemaman, Kuala Terengganu dan Kuala Nerus manakala tiada pemilihan di Marang memandangkan semua jawatan utama tiada pertandingan.
"Dua mesyuarat cawangan Bersatu bahagian Kemaman juga terpaksa dibatalkan membabitkan pemilihan jawatankuasa Srikandi kerana tidak cukup keahlian untuk mengadakan mesyuarat.
"Secara keseluruhannya, kita berpuas hati kerana perjalanan mesyuarat pemilihan berjalan lancar tanpa sebarang insiden pergaduhan.
"Walaupun terdapat bantahan tetapi mereka mengemukakan bantahan secara profesional," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!