Isteri ADUN Kijal cedera kemalangan
KUALA TERENGGANU - Isteri kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal, Datuk Razali Idris cedera dalam kemalangan di pekarangan sebuah stesen minyak dekat Kemaman pada Ahad.
Insiden menimpa Datin Nor Aizam Abu Bakar itu dikongsikan menerusi laman sosial Pusat Khidmat Masyarakat DUN Kijal petang tadi.
Difahamkan Nor Aizam yang sebelum ini dikejarkan ke Hospital Kemaman telah dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini untuk rawatan lanjut.
Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Kemaman, Deputi Superintenden Wan Muhamad Ja'far dalam kenyatan berkata, kemalangan tersebut berlaku di kilometer (KM) 135 Jalan Kuala Terengganu - Kuantan di Kemaman.
Menurutnya, siasatan awal mendapati kemalangan melibatkan tiga buah kenderaan iaitu sebuah kereta, kenderaan utiliti sukan (SUV) dan sebuah motosikal.
"Kemalangan dipercayai berpunca dari sebuah kereta jenis Honda Jazz dipandu seorang lelaki yang tiba-tiba mengundur serta hilang kawalan sebelum melanggar SUV jenis Honda WR-V dan motosikal jenis Yamaha Ego Avantiz.
"Akibat kemalangan tersebut, seorang wanita mengalami kecederaan pada kepala dan tangan telah dikejarkan ke Hospital Kemaman untuk rawatan," katanya.
Beliau berkata, kes tersebut disiasat dibawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1957 atas kesalahan memandu dengan tidak cermat dan tidak bertimbang rasa.
"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kemalangan ini diminta menyalurkan terus ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kemaman di talian 09-8592222," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!