YBR beri bantuan bernilai RM25,000 kepada 50 pelajar IPT golongan B40, asnaf
SHAH ALAM - Yayasan Bank Rakyat (YBR) dengan kerjasama Persatuan Sosial Aspi Permata menyalurkan bantuan awal pengajian kepada 50 penuntut Institusi Pengajian Tinggi (IPT) daripada golongan B40 dan asnaf bernilai RM25,000.
Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Bank Rakyat, Syahredzan Johan berkata, ia merupakan bantuan insentif untuk menolong pelajar terlibat memulakan semester pengajian.
"Bantuan wang tunai RM500 seorang yang diberikan selain dapat memulakan semester baru, ia juga membantu menyediakan peralatan pengajian diperlukan untuk meneruskan pengajian bagi kemasukkan pelajar ke IPT.
"Semoga bantuan ini turut dapat mengurangi bebanan kos sara hidup yang semakin meningkat dan membantu ibu bapa meningkatkan tahap pendidikan anak-anak mereka," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Bantuan itu diserahkan dalam Majlis Penyampaian Bantuan Awal Pengajian di Cherasdan turut dihadiri Ketua Bahagian Operasi YBR, Mohd Mukhti Abd Rahman dan Ketua Bahagian Pentadbiran Korporat YBR, Khairul Na’im Arifin.
Sementara itu, YBR diwakili Mohd Mukhti turut menyantuni Qaireen Adriana Tihani, 13, yang menderita penyakit Aortic Stenosis iaitu salur pembuluh darah ke jantung sempit dengan memberikan sumbangan RM5,000 secara 'one off'.
"Selama 13 tahun hayatnya, dia telah menjalani tiga kali pembedahan major dan terpaksa berulang alik ke hospital untuk mendapatkan rawatan susulan.
“Bantuan berjumlah RM5,000 sebulan bagi tempoh lima bulan akan datang diharapkan dapat membantu keluarga mereka yang terhimpit masalah kewangan untuk kumpul dana pembedahan major kali keempat bagi menukar injap utama jantung di Institut Jantung Negara (IJN).
"Anggaran kos awal bagi rawatan tersebut adalah sebanyak RM50,000 dan bagi rawatan bulanan sementara waktu pula bernilai RM200 hingga RM1,000 setiap bulan,” katanya.
Tambah Syahredzan, lebih memilukan apabila ibu bapa kepada empat orang anak itu memaklumkan bahawa mereka perlu bekerja keras untuk memastikan bekalan makanan anaknya tidak terputus dan boleh terus hadir ke sekolah supaya dapat mengubah nasib pada masa akan datang.
Sementara itu, bapanya, Mohamed Haffiez Mansor, 40, berkata, penyakit dihidapi anak sulungnya itu dikesan sejak lahir dan kehidupan berubah serta-merta kerana perlu menjaga Qaireen Adriana Tihani bersama tiga lagi orang anak yang masih kecil.
“Saya baru diberhentikan kerja disebabkan tamat kontrak dan kini sumber pendapatan hanya menjaja pelbagai jenis jualan di sekitar Setia Alam manakala isteri baru sahaja dua minggu diterima bekerja sebagai pembantu jualan dengan pendapatan sebanyak RM1,900 sebulan.
“Saya amat berterima kasih kepada YBR kerana sudi menyantuni kami dan memberikan sumbangan serta melihat keadaan anak kami yang memerlukan kos perubatan tinggi," ujarnya.
Dalam pada itu, YBR dalam kenyataan sama memaklumkan, orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan kepada Qaireen Adriana Tihani boleh salurkan ke akaun CIMB - 7607551097 atau Bank Simpanan Nasional (BSN) - 1111529000020021 atas nama Mohamed Haffiez Mansor (Bapa) atau hubungi 019-6060168.
Pada tahun 2024, YBR memperuntukkan sebanyak hampir RM700,000 bagi pemberian sumbangan dalam membantu mereka yang kurang bernasib baik.
Ia juga bertujuan untuk meningkatkan kesejahteraan sosio-ekonomi penerima melalui pembangunan pendidikan, pemerkasaan masyarakat serta dan bantuan penjagaan kesihatan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!