UMNO atau PKR, keputusan di tangan Tengku Zafrul

Tengku Zafrul. Gambar kecil dari kiri: Abdul Raof, Mohd Zaffarollah
Tengku Zafrul. Gambar kecil dari kiri: Abdul Raof, Mohd Zaffarollah
A
A
A

SHAH ALAM - Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz masih ahli UMNO selagi beliau tidak mengumumkan untuk keluar parti.

Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kota Raja, Abdul Raof Mokhtar berkata, Tengku Zafrul merupakan pemimpin berintegriti dan banyak pengalaman dalam bidang pentadbiran.

Sehubungan itu, ujarnya, UMNO Bahagian Kota Raja melihat Tengku Zafrul perlu kekal bersama parti.

"Tengku Zafrul diperlukan banyak pihak termasuk UMNO yang memerlukan khidmatnya tetapi akhirnya keputusan itu terletak kepada Tengku Zafrul.

"Menjadi satu kerugian kepada UMNO sekiranya Tengku Zafrul keluar dari parti UMNO.

"Kita tunggu apa keputusan Tengku Zafrul dan beliau juga memaklumkan akan memberikan kenyataan dalam tempoh terdekat ini," ujarnya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Sebelum ini, wujudnya khabar angin bahawa Tengku Zafrul yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO akan menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Berikutan itu, Tengku Zafrul ketika ditemui pemberita pada Ahad menyatakan beliau akan mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung kedudukan politiknya dalam masa terdekat.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Ketua Pemuda UMNO Kota Raja, Mohd Zaffarollah Mohd Nordin pula berkata, Tengku Zafrul masih lagi Ketua UMNO Bahagian Kota Raja.

"Program yang dijalankan di Kota Raja masih di atas kapasiti beliau sebagai Ketua UMNO Bahagian Kota Raja.

"Selagi tiada kenyataan rasmi bahawa Tengku Zafrul keluar parti, beliau masih Ketua UMNO Bahagian Kota Raja yang sah," ujarnya kepada Sinar Harian.

Mengulas mengenai dakwaan bahawa PKR 'mencuri' Tengku Zafrul dari UMNO ujarnya, istilah itu tidak sesuai digunakan kerana UMNO dan PKR adalah dalam satu kerajaan yang sama.

"Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) juga mengesahkan ada rundingan maknanya tiada istilah curi, kita kena tunggu keputusan dari Tengku Zafrul," ujarnya lagi.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!