Tiga beranak maut, dua cedera nahas dua kenderaan

Keadaan dua kereta yang terlibat dalam nahas berkenaan. Foto BBP Mersing
Keadaan dua kereta yang terlibat dalam nahas berkenaan. Foto BBP Mersing
A
A
A

MERSING - [DIKEMAS KINI] Tiga individu maut manakala dua lagi cedera dalam nahas melibatkan dua kenderaan di Kilometer 45, Jalan Kota Tinggi - Mersing 4, berhampiran simpang masuk ke Ladang Arami Jaya, di sini pada Ahad.

Menurut Ketua Polis Daerah Mersing, Superintenden Abdul Razak Abdullah Sani, pihaknya menerima maklumat mengenai kemalangan berkenaan sekitar jam 8.30 malam.

Katanya, siasatan mendapati kereta Toyota Vios yang dipandu seorang lelaki warga tempatan berumur 28 tahun dari arah Kuantan menuju ke Johor Bahru dipercayai terbabas dan memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan kereta Proton Persona dari arah Kota Tinggi.

"Akibat kemalangan itu, pemandu kereta Toyota Vios cedera parah di bahagian perut dan patah tangan kanan serta dirawat di Hospital Sultan Ismail (HSI), Johor Bahru.

"Manakala pemandu Proton Persona seorang lelaki tempatan berumur 36 tahun disahkan meninggal dunia di Hospital Mersing akibat cedera parah di bahagian kepala.

"Dua lagi penumpang Proton Persona yang juga ibu bapa pemandu berumur 65 tahun dan 71 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kemalangan akibat cedera parah di bahagian kepala.

"Seorang kanak-kanak perempuan berumur lima tahun cedera di bahagian kepala dan masih dirawat di HSI dan keadaannya dilaporkan stabil," katanya.

Kes disiasat di bawah seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel Berkaitan:

Dua termasuk seorang warga emas maut manakala tiga lagi cedera dalam nahas melibatkan dua kenderaan di Jalan Mersing-Kota Tinggi berhampiran simpang masuk Ladang Arami Jaya, malam tadi. Foto BBP Mersing
Dua termasuk seorang warga emas maut manakala tiga lagi cedera dalam nahas melibatkan dua kenderaan di Jalan Mersing-Kota Tinggi berhampiran simpang masuk Ladang Arami Jaya, malam tadi. Foto BBP Mersing

Sementara itu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Mersing, Pegawai Bomba Kanan II Mohamed Zainuddin Ahmad, seramai 12 anggota bersama sebuah jentera dan pacuan empat roda dikejarkan ke lokasi selepas menerima panggilan mengenai kemalangan terbabit.

“Kemalangan melibatkan sebuah kereta Toyota Vios dan kereta Proton Persona.

“Pemandu kereta Toyota Vios yang mengalami kecederaan serta seorang lelaki dewasa dan kanak-kanak perempuan yang juga penumpang kereta Proton Persona telah dikeluarkan oleh orang awam dan dibawa ke hospital sebelum ketibaan pasukan bomba.

“Bagaimanapun, dua penumpang melibatkan warga emas lelaki dan seorang wanita disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan yang berada di lokasi,” katanya.

Mangsa yang meninggal dunia diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Operasi ditamatkan pada jam 9.45 malam.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!