Tedung selar muncul ketika mengaji al-Quran
KUALA KRAI - Seorang ibu dan anak lelakinya dikejutkan dengan kemunculan seekor tedung selar sepanjang 4.2 meter ketika mereka sedang mengaji al-Quran di ruang tamu rumah di Kampung Bukit Chengal, Batu Jong di sini pada Ahad.
Dalam kejadian kira-kira jam 3.45 petang itu, Siti Nur Hafizah Hasbullah, 28, sedang mengajar Khalis Umar Mohd Saifullah, 5, mengaji al-Quran sebelum anaknya itu memberitahu terlihat ular melintasi pintu hadapan rumah.
Bapa, Mohd Saifullah Mat Nazi, 32, berkata, reptilia terbabit kemudian dilihat memasuki kawasan semak di sebelah rumah.
"Semasa kejadian saya sedang bekerja dan menerima panggilan telefon daripada isteri sekitar jam 3.50 petang memaklumkan kejadian itu.
"Saya kemudian pulang dan cuba mencari ular tersebut di tepi rumah. Selepas menjumpai ular itu saya cuba untuk menghalaunya namun reptilia tersebut telah masuk ke dalam rumah," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Isnin.
Menurut tukang kebun sekolah itu, dia kemudian telah menutup pintu hadapan serta depan rumah dan meminta isteri serta tiga anaknya keluar.
Mohd Saifullah kemudian menghubungi Pasukan Bomba Sukarelawan Guchil untuk meminta bantuan bagi menangkap reptilia tersebut.
Ujarnya, tedung selar seberat 11 kilogram itu berjaya ditangkap dan ini merupakan kejadian kedua rumah dimasuki reptilia tersebut.
Sementara itu, Ketua Pasukan Bomba Sukarela Guchil, Hamdan Mahadi berkata, pihaknya menerima panggilan sekitar jam 4.15 petang dan seramai empat anggota telah ke lokasi.
"Kami mengambil masa selama 37 minit untuk menangkap ular tedung selar terbabit yang bersembunyi di belakang sofa dekat ruang tamu.
"Reptilia ini akan diserahkan kepada pihak berkenaan untuk tindakan lanjut," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!