Sultan Pahang bantu mangsa kemalangan
KUANTAN - Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menangguhkan perjalanan dan memberhentikan kenderaan bagi membantu mangsa kemalangan di Jalan Sultan Ahmad berhampiran Istana Saadah, Pekan pada Ahad.
Peristiwa itu dikongsikan melalui Facebook Kesultanan Pahang.
Berdasarkan hantaran itu, baginda turun dari kenderaan untuk melihat dan bertanyakan keadaan mangsa, Siti Asiah Hussin, 47, yang memandu pacuan empat roda jenis Chevrolet Colorado dan pemandu treler, Mohamad Hafizul Faiz Ahmad, 29, yang terlibat dalam kemalangan tersebut.
Al-Sultan Abdullah menzahirkan rasa syukur apabila kedua-dua mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan dan berharap agar urusan mereka yang terlibat dipermudahkan.
Baginda turut menasihati semua pengguna jalan raya agar lebih berhati-hati bagi mengelak sebarang tragedi.
Pada 9 Disember lalu, Al-Sultan Abdullah juga berkenan bercemar duli berangkat turun dari kenderaan sebaik sahaja terlihat sebuah kenderaan terbabas di Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT1) berhampiran susur keluar tol Gambang di sini.
Ketika itu baginda dalam perjalanan berangkat pulang ke Kuantan dari program rasmi di Temerloh.
Baginda juga pernah memberhentikan kenderaan bagi membantu mangsa kemalangan di Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT1) berhampiran kawasan Hentian Rawat dan Rehat (R&R) Kuantan pada 15 Oktober lalu.
Peristiwa tersebut berlaku dalam keadaan hujan ketika baginda dalam perjalanan dari Temerloh ke Kuantan selepas berangkat melawat dan menyampaikan sumbangan kepada mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Semantan, Temerloh.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!