Perkasa modul integriti peringkat sekolah demi negara bertamadun
SHAH ALAM - Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) disarankan untuk memperkasa modul integriti dalam jadual persekolahan demi membina sebuah negara yang bertamadun.
Pengerusi Gabungan Rasuah Busters Selangor, Wilayah Persekutuan dan Putrajaya, Profesor Dr Hamdan Daniel M Sharib berkata, perkara sedemikian tidak boleh dipandang ringan kerana hasil daripada pemerkasaan itu akan membawa kepada perubahan pentadbiran yang lebih berintegriti pada masa hadapan.
“Umum mengetahui bahawa masa hadapan negara bergantung kepada kejayaan dalam mendidik mereka. Modul integriti ini perlu diperkasakan dengan memasukkan ia dalam jadual serta takwim persekolahan menerusi kempen berkaitan.
“Jika kita mendedahkan hal itu, mereka secara tidak langsung dapat memahami bahawa rasuah merupakan satu jenayah berat yang boleh membawa kemunduran kepada negara,” katanya kepada Sinar Harian ketika dihubungi pada Ahad.
Dalam pada itu, Hamdan Daniel memberitahu bahawa cadangan untuk mewujudkan modul sedemikian boleh diperkembangkan ke institusi pengajian tinggi (IPT).
Jelasnya, usaha memupuk semangat untuk menolak perbuatan rasuah tidak boleh terhenti di peringkat persekolahan, sebaliknya perlu diteruskan dengan pelaksanaan kempen secara berterusan.
“Kita perlu ingat, manusia ini merupakan makhluk yang mudah lupa. Kalau kita tidak mewujudkan modul integriti ini di peringkat universiti, mungkin anak-anak akan lupa.
“Keadaan itu boleh mendorong mereka untuk melakukan perbuatan menerima atau memberi rasuah. Ini yang kita nak elak,” ujarnya.
Sehubungan itu, Hamdan Daniel sekali lagi menegaskan untuk mana-mana pihak berkuasa atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO) agar melakukan kempen anti rasuah secara berkala.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!