‘Ada masalah jelas hutang, datang berunding dengan Mara’ - Asyraf Wajdi
SHAH ALAM - Majlis Amanah Rakyat (Mara) mendedahkan ada dalam kalangan peminjam bersikap tidak mengendahkan perihal pembayaran semula pinjaman.
Pengerusi Mara, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, disebabkan hal itu, tindakan mahkamah diambil kerana wang yang dipinjamkan itu adalah hak rakyat.
“Mara sering mengingatkan kepada semua peminjam bermasalah untuk datang berunding,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook pada Isnin.
Pada 10 Disember lalu, Mara bertindak menyerbu kediaman aktres Rozita Che Wan atau lebih dikenali sebagai Che Ta di Kota Damansara ekoran kegagalan menjelaskan pinjaman bernilai hampir RM1 juta.
Dalam serbuan itu, beberapa barangan peribadi milik pelakon itu bernilai hampir RM100,000 disita oleh pihak mahkamah.
Menurut peguam, pihaknya kini menunggu arahan selanjutnya dari mahkamah untuk melakukan proses lelongan, dijangka dalam masa dua minggu lagi.
Dalam perkembangan sama, Asyraf Wajdi meminta Che Ta dan anak sulungnya, Ammar Effendy, 28, tampil bagi berunding dengan Mara berhubung hutang berkenaan.
Katanya, prosedur pemfailan kebankrapan akan tetap diteruskan selepas pelakon berusia 51 tahun itu gagal melunaskan hutang dalam tempoh tujuh tahun.
Tambah beliau lagi, tindakan mahkamah itu bukan kali pertama yang dikenakan terhadapnya, tetapi ini sudah memasuki kali kedua.
Sehubungan itu, Asyraf Wajdi menegaskan untuk pelakon berkenaan tampil berbincang dengan Mara soal penjelasan pinjaman yang sudah berlarutan sejak tahun 2017.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!