Saman fitnah: Muhyiddin dapat penangguhan bersyarat
KUALA LUMPUR – Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin mendapat penangguhan bersyarat oleh Mahkamah Tinggi di sini pada Isnin, berjumlah RM1.402 juta, kerana memfitnah Pengerusi DAP Lim Guan Eng, tahun lalu.
Hakim, Roz Mawar Rozain memerintahkan Muhyiddin, 77, membayar RM400,000 sebelum 31 Disember ini sementara bakinya, RM1 juta sebelum atau pada 27 Januari tahun depan.
Beliau memutuskan demikian dengan memberikan penangguhan bersyarat kepada Muhyiddin ketika prosiding diadakan secara dalam kamar.
Perkara itu disahkan peguam, Chetan Jethwani yang mewakili Gua Eng sementara Muhyiddin diwakili peguam, Guok Ngek Seong.
Pada 12 Disember lalu, Guan Eng memfailkan bantahan di Mahkamah Tinggi di sini berhubung permohonan Muhyiddin untuk menangguhkan bayaran RM1.402 juta kerana memfitnahnya, tahun lalu.
Guan Eng, 64, selaku plaintif membuat bantahan itu menerusi Tetuan Guok Partnership dengan menamakan Muhyiddin sebagai defendan.
Pada 9 Disember lalu, Guan Eng mengemukakan permohonan di Mahkamah Tinggi di sini untuk mengeluarkan notis kebankrapan terhadap Muhyiddin.
Ahli Parlimen Bagan itu selaku pemiutang penghakiman, memfailkan permohonan itu melalui firma guaman Tetuan Guok Partnership, dengan menamakan Muhyiddin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) selaku penghutang penghakiman.
Ia bersabit keputusan Mahkamah Tinggi pada 8 November lalu yang memerintahkan Muhyiddin membayar ganti rugi berjumlah RM1.35 juta kepada bekas Ketua Menteri Pulau Pinang berkenaan, selepas didapati bertanggungjawab memfitnah.
Tuntutan pembayaran Guan Eng seperti dalam permohonan itu membabitkan jumlah penghakiman RM1.35 juta, kos tindakan (RM50,000) dan alokatur (RM2,000).
Sebelum ini, Ahli Parlimen Pagoh berkenaan memohon untuk menggantungkan penghakiman itu, sementara menunggu rayuannya didengar dan dilupuskan.
Muhyiddin berkata, disebabkan jumlah terlibat adalah besar, memerlukannya untuk mengumpul amaun berkenaan.
Pada 8 November lalu, Roz Mawar mengeluarkan perintah supaya Muhyiddin membayar ganti rugi berjumlah RM1.35 juta ketika membenarkan tuntutan saman fitnah Guan Eng berhubung isu pembatalan pengecualian cukai kepada Yayasan Albukhary.
Roz Mawar mendapati Guan Eng berjaya membuktikan kesnya terhadap Muhyiddin melalui prinsip imbangan kebarangkalian, iaitu beban pembuktian bagi proses tuntutan saman sivil.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!