Jenazah bayi beku: Polis semak bukti pernikahan ibu bapa

Hussein
Hussein
A
A
A

SHAH ALAM - Polis sedang menyemak dengan jabatan agama Islam bagi mendapatkan bukti pernikahan ibu bapa kepada jenazah bayi lelaki yang disimpan dalam peti sejuk di sebuah hospital swasta di Klang.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, semakan sedang dibuat bagi membantu siasatan.

“Setakat hari ini seramai lima orang sudah dirakam percakapan.

"Lima individu ini ialah ibu bapa bayi berkenaan, dua doktor dan terbaharu rakan kepada pasangan itu yang menghantar wanita terbabit ke hospital,” katanya pada Isnin.

Media sebelum ini melaporkan bapa kepada bayi lelaki dinamakan Adham, Safwan Roshdy, 22, kecewa dan sedih dengan tindakan hospital 'menahan' mayat bayi lelakinya itu kira-kira dua minggu.

Safwan mendakwa anak sulungnya dilahirkan tidak sempurna meninggal dunia beberapa minit selepas kelahiran.

Jumaat lepas, Sinar Harian melaporkan polis akan memanggil beberapa individu termasuk pihak hospital berhubung kes berkenaan.

Peguam, Datuk Ahmad Zaharil Muhaiyar yang mewakili bapa bayi terbabit, memaklumkan akan mengambil tindakan saman terhadap netizen yang memfitnah keluarga jenazah bayi lelaki yang disimpan dalam peti sejuk di sebuah hospital swasta di Selangor.

Artikel Berkaitan:

Ahmad Zaharil memaklumkan, pihaknya sudah mengenal pasti beberapa pemilik akaun media sosial yang melemparkan fitnah terhadap anak guamnya termasuk dakwaan tidak berkahwin.

Jenazah bayi lelaki itu dibekukan dalam peti sejuk mayat di sebuah hospital swasta di Klang dipercayai selepas bapanya tidak mempunyai wang untuk membayar bil.

Kisah menyayat hati itu tular di media sosial sejak Selasa selepas Pengasas Unit Khas Van Jenazah (UKVJ), Mr Wan Cai Official memuat naik hantaran di Facebook berkongsi mengenai perkara itu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!