Tengku Zafrul tidak berprinsip - UMNO Selangor

Mohd Zaidi (kiri), Laporan Sinar Harian berhubung isu perbincangan awal penyertaan Tengku Zafrul ke PKR
Mohd Zaidi (kiri), Laporan Sinar Harian berhubung isu perbincangan awal penyertaan Tengku Zafrul ke PKR
A
A
A

SHAH ALAM - UMNO Selangor menyifatkan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz sebagai seorang ahli parti yang tidak berprinsip dan mempunyai ketegasan dalam mempertahankan pendirian.

Ketua Penerangannya, Datuk Dr Mohd Zaidi Md Zain sebaliknya berkata, apa yang ternyata ialah Tengku Zafrul tidak mempunyai apa-apa pendirian kecuali memikirkan kepentingan dirinya semata-mata.

Beliau mendakwa, apa yang dikisahkan Tengku Zafrul ialah hanya tentang dirinya yang telah meninggalkan dunia korporat dan kononnya untuk menjadi sebagai anggota pentadbiran kerajaan.

"Maka dalam keadaan apa sekali pun, bukan soal kesetiaan kepada mana-mana parti tetapi yang penting ialah selagi mana ada ruang dan peluang untuk 'berperanan' maka beliau akan hinggap di situ," katanya kepada Sinar Harian.

Pada Ahad, Tengku Zafrul menegaskan beliau tidak membuat keputusan mengenai keahlian mana-mana parti walaupun disebut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ada perbincangan awal mengenainya untuk menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Hantaran Tengku Zafrul di media sosial Instagramnya itu sebagai mengulas mengenai perkembangan berhubung dakwaan beliau akan menyertai PKR tahun depan dan bakal ditawarkan jawatan Menteri Besar Selangor.

Untuk rekod, Anwar yang juga Presiden PKR, pada Ahad turut mengesahkan wujudnya perbincangan awal berhubung penyertaan Tengku Zafrul ke dalam parti itu.

Perdana Menteri menegaskan, beliau dan PKR terbuka untuk mengadakan sebarang perbincangan atau rundingan dengan mana-mana pihak.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Tengku Zafrul yang juga Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) percaya menjadi hak individu untuk memilih landasan perjuangan kerana ia adalah hak asasi dan mutlak.

Jelasnya, tanpa keserasian mustahil untuk seseorang individu itu untuk memberi perkhidmatan yang terbaik.

Mengulas lanjut, Mohd Zaidi berkata, oleh sebab itulah 'peranan' Tengku Zafrul bermula pada era bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin tetapi tidak berparti dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

"Apabila Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjadi Perdana Menteri, tiba-tiba dikhabarkan beliau adalah ahli UMNO dan kekal 'berperanan' sebagai anggota pentadbiran kerajaan.

"Seterusnya UMNO Selangor memberikan peluang kepada beliau untuk bertanding di peringkat Parlimen dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 atas dasar sebagai ahli UMNO dengan sokongan dan dukungan penuh UMNO Selangor," ujarnya.

Tambahnya lagi, bahkan ia dilanjutkan dengan pengorbanan Ketua UMNO Bahagian Kota Raja dan ahli UMNO kawasan itu memberikan laluan mudah kepada Tengku Zafrul sebagai ketua bahagian sehinggalah diberikan kepercayaan menjadi Bendahari UMNO Selangor.

"Adakah semua ini ada unsur-unsur tidak sihat dan cah keting terhadap beliau," soalnya mengulas kenyataan Tengku Zafrul dalam hantaran yang sama mendakwa UMNO Selangor masih dibelenggu dengan serangan belakang tabir tanpa asas termasuk agenda 'cah keting'.

Dalam pada itu, Mohd Zaidi tidak terkejut apabila Tengku Zafrul memperli orang politik yang bercakap tentang kesetiaan sebagai seorang anggota parti sebagai bermain politik remeh, tidak sihat, 'cah keting', ekstrem dan sebagainya.

"Ini kerana beliau tidak nampak bahawa negeri mahu pun negara ini terbina berasaskan sebuah parti politik teguh dan kukuh diperjuangkan ahli yang setia serta sayang kepada parti masing-masing.

"Bukan seperti Tengku Zafrul yang hanya ada kepakaran tetapi tidak berjiwa parti politik.

"Apabila Tengku Zafrul menyatakan bahawa beliau telah banyak mengetengahkan isu-isu dalam konteks UMNO Selangor, saya amat cuak dengan dakwaan tersebut," katanya.

Ini kerana tambah Mohd Zaidi, sebagai Ketua Penerangan UMNO Selangor yang memantau dengan penuh berhemah isu-isu dalaman mahu pun luaran UMNO Selangor, beliau tidak pernah mendengar apakah isu yang diketengahkan Tengku Zafrul di dalam mahu pun di luar mesyuarat yang dikatakan sebagai masih membelenggu UMNO Selangor itu.

"Jika jenis ahli begini yang hendak dipertahankan UMNO, saya rasa ia amat tidak berbaloi sehingga berlaku sengketa dalam kalangan ahli yang setia. Biarlah luncai terjun dengan labu-labunya...biarkan," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!