Tak pelik kalau Tengku Zafrul lompat parti - A Kadir
SHAH ALAM - Tokoh wartawan veteran, Datuk A Kadir Jasin tidak hairan dengan ura-ura mengenai Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz akan lompat parti.
A Kadir berkata, ia berikutan senarai jawatan sebelum ini menunjukkan bahawa Tengku Zafrul sememangnya kerap lompat dari jawatan ke jawatan ketika dalam dunia korporat.
Bagaimanapun, beliau berasa pelik dan mempersoal tindakan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim yang berani mengambil risiko menerima Tengku Zafrul sedangkan untungnya tidak banyak.
“Tengku Zafrul tidak ada kerusi dalam Dewan Rakyat, dia hanyalah Senator. Boleh jadi ada perkiraan lain, ada tekanan dan wayang kulit yang kita tidak nampak.
“Misalnya, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari akan diberhentikan, kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Tua dikosongkan dan Tengku Zafrul bertanding.
“Amirudin kekal Ahli Parlimen Gombak dan boleh dilantik menteri, Tengku Zafrul ambil alih tempat dia sebagai Menteri Besar,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Isnin.
Sebelum ini Sinar Harian melaporkan, selain desas-desus akan menyertai PKR, Tengku Zafrul yang juga Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) turut dikaitkan dengan spekulasi bakal menerajui Selangor menggantikan Amirudin.
Anwar yang juga Perdana Menteri turut mengesahkan terdapat perbincangan awal bersama Tengku Zafrul berhubung perkara tersebut.
Mengulas lanjut, A Kadir mendakwa Tengku Zafrul sebagai individu yang mahu cepat naik dan sentiasa dalam sanjungan.
“Boleh jadi ini adalah perwatakan Melayu elit berdarah raja. Dalam dunia korporat, dengan nama keluarga yang hebat dan lobi kuat, memang mudah dia naik. Wikipedia bahasa Melayu merakamkan yang dia sudah pegang 14 jawatan sejak 1996.
“Tapi dalam dunia politik, apatah lagi UMNO, hendak naik cepat tidak mudah. Pertama, risiko kena cantas dan kedua UMNO sendiri sedang bernyawa ikan. Bukan macam zaman Anwar masuk pada 1982...PKR pun bukanlah hebat sangat.
“Jadi, cerita dan ramalan kata Tengku Zafrul akan melompat dari UMNO ke PKR tidaklah memeranjatkan,” ujarnya.
Dalam pada itu, A Kadir berkata, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tidak dapat menghalang sekiranya PKR menerima Tengku Zafrul ke parti tersebut.
“UMNO boleh cakap saja, ancam itu dan ini, realitinya setelah Anwar selamatkan Ahmad Zahid dari pintu penjara dan angkat dia jadi Timbalan Perdana Menteri, apa sangat yang Ahmad Zahid boleh buat?
“Saya rasa Tengku Zafrul pun bukan hormat sangat kepada Ahmad Zahid atau komited dengan UMNO sebab dia (Tengku Zafrul) lebih berupa politik diraja.
“Para pembesar UMNO boleh terpekik terlolong bantah tetapi kalau PKR terima juga Tengku Zafrul, apa mereka nak buat? Nak keluar Kerajaan Madani? Kalau anak jantan, itulah yang mereka patut buat tapi ada berani?” soalnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!