USM dipilih kampus rintis Kempen PAAB Lestari 2024

Jaseni (kiri) menandatangani plak Program CSR, Kempen PAAB Lestari 2024 pada majlis pelancaran kempen berkenaan di Desa Siswa Indah Kembara, USM pada Isnin.
Jaseni (kiri) menandatangani plak Program CSR, Kempen PAAB Lestari 2024 pada majlis pelancaran kempen berkenaan di Desa Siswa Indah Kembara, USM pada Isnin.
A
A
A

GEORGE TOWN - Universiti Sains Malaysia (USM) kampus Pulau Pinang dipilih untuk melaksanakan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang dilaksanakan oleh Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) menerusi Kempen PAAB Lestari 2024 (Edu-Sustainability).

Kempen itu merupakan inisiatif PAAB iaitu syarikat milik penuh Menteri Kewangan Diperbadankan dengan kerjasama Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) dan badan bukan kerajaan, Water Watch Penang (WWP).

Ketua Pegawai Eksekutif PAAB, Zulkiflee Omar berkata, PAAB telah menyalurkan peruntukan berjumlah RM50,000 kepada USM kampus Pulau Pinang untuk melaksanakan kempen berkenaan.

Zulkiflee (empat dari kanan) mendengar penerangan oleh Jaseni (dua dari kiri) mengenai perbezaan pili yang menggunakan produk cekap air dengan pili biasa.
Zulkiflee (empat dari kanan) mendengar penerangan oleh Jaseni (dua dari kiri) mengenai perbezaan pili yang menggunakan produk cekap air dengan pili biasa.

Menurutnya, USM merupakan kampus rintis pertama kepada kempen tersebut sebagai strategi jangka masa panjang bagi memperkasakan dan memperkukuhkan lagi usaha memelihara alam sekitar di peringkat kampus institusi pengajian tinggi (IPT).

"Sebelum ini, kita sudah melaksanakan inisiatif ini sejak 2019 iaitu Program School Sustainability melibatkan 11 buah sekolah di lima negeri iaitu Kelantan, Johor, Pahang, Selangor dan Negeri Sembilan.

"Inisiatif ini dilaksanakan selama empat tahun bagi memanfaatkan 10,000 murid dan pelajar dengan peruntukan RM500,000.

"Ia merupakan komitmen kita di negeri-negeri yang telah menandatangani pelan penstrukturan semula industri bekalan air," katanya selepas melancarkan Kempen PAAB Lestari 2024 di USM di sini pada Isnin.

Artikel Berkaitan:

Turut hadir, Pengerusi PAAB, Datuk Seri Jaseni Maidinsa, Timbalan Naib Canselor (Rangkaian Industri dan Komuniti) USM, Profesor Dr Azlan Amran dan Ketua Pegawai Operasi PBAPP, Rosyidi Lat.

Tambah beliau, pelbagai inisiatif kelestarian bakal diterapkan dan dilaksanakan untuk menyampaikan maklumat penjimatan air dan amalan hijau melalui kempen kesedaran kepada pelajar IPT.

"Ia bagi memastikan mereka memahami dan mengambil tahu mengenai isu kelestarian alam sekitar. Sebagai projek rintis kampus lestari kepada program CSR ini, PAAB akan melaksanakan inisiatif kelestarian termasuk penukaran pili air dan tangki tandas sedia di kolej kediaman.

"Penukaran pili air adalah menukarkan kepada produk cekap air yang menghasilkan pengeluaran air lebih rendah dengan keupayaan menjimatkan bil air sehingga 50 peratus daripada jumlah bil semasa," katanya.

Zulkiflee (dua dari kanan) bersama Jaseni (tiga dari kanan) melihat kemudahan bekalan air dan infrastuktur kampus yang telah dinaiktaraf di Desa Siswa Indah Kembara, USM.
Zulkiflee (dua dari kanan) bersama Jaseni (tiga dari kanan) melihat kemudahan bekalan air dan infrastuktur kampus yang telah dinaiktaraf di Desa Siswa Indah Kembara, USM.

Dalam pada itu, Zulkiflee berkata, peruntukan berjumlah RM50,000 untuk menaiktaraf kemudahan bekalan air dan infrastruktur kampus di kolej kediaman Desa Siswa Indah Kembara L-12 dijangka siap dalam tempoh tiga bulan.

"Pemilihan USM kampus Pulau Pinang sebagai kampus rintis pertama adalah kerana dalam laporan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara, ia mencatatkan penggunaan air bersih tertinggi, sama seperti penggunaan di kilang dan hotel.

"Sasaran kita selepas ini adalah Kampus USM di Nibong Tebal dan Kelantan. Kita juga bercadang untuk untuk memperluaskan kempen ini di universiti-universiti lain seperti Universiti Utara Malaysia," katanya.

Jelas beliau, program CSR PAAB berteraskan kepada empat prinsip iaitu sukarelawan, pendidikan, masyarakat setempat dan alam sekitar.

"Harapan kami adalah untuk melihat keberkesanan Kempen PAAB Lestari ini dalam kalangan pelajar USM yang merupakan generasi masa hadapan yang akan menerapkan agenda penjimatan air serta kelestarian alam sekitar di negara ini.

"Pelajar juga boleh meneruskan kerjasama ini melalui sesi libat urus dan program kesedaran bersama pihak berkepentingan lain," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!