JIPS siasat anggota polis didakwa tunjuk isyarat lucah
KUALA LUMPUR - Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman telah memulakan siasatan terhadap anggota polis yang didakwa menunjukkan isyarat lucah kepada seorang wanita dalam perhimpunan di ibu kota, Jumaat lalu.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, wanita terbabit diminta tampil untuk membuat laporan polis bagi memudahkan siasatan lanjut dijalankan.
"JIPS sendiri sudah memulakan siasatan berhubung insiden itu, namun mangsa diminta tampil membuat laporan polis bagi membantu siasatan.
“Selain itu, jika ada mangsa lain yang mengalami insiden sama dengan anggota terbabit turut diminta tampil dan membuat laporan polis,” katanya ketika dihubungi pada Isnin.
Razarudin berkata, pihaknya memberi jaminan kepada orang ramai bahawa siasatan dijalankan dengan teliti dan telus berhubung insiden terbabit.
Sebelum ini, Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Rusdi Mohd Isa dilaporkan berkata, pihaknya sudah mengenal pasti anggota berkenaan yang kini bertugas di dalam kawasan di ibu negara.
Siasatan dimulakan walaupun polis tidak menerima laporan berhubung perkara itu.
Terdahulu, tular satu hantaran menerusi media sosial Instagram oleh seorang wanita yang mendakwa seorang anggota polis menunjukkan isyarat lucah kepadanya, ketika wanita itu sedang mengambil gambar dalam satu protes mengenai hak asasi manusia di sini.
Wanita berkenaan turut mendakwa isyarat yang ditujukan kepadanya itu diulang beberapa kali oleh anggota polis terbabit bagi memastikan ia dapat dilihat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!