Tahanan JKDM lolos dipenjara 12 bulan

Musliadi dijatuhi hukuman penjara 12 bulan selepas didapati bersalah.
Musliadi dijatuhi hukuman penjara 12 bulan selepas didapati bersalah.
A
A
A

ALOR GAJAH - Mahkamah Majistret di sini pada Isnin, menasihatkan seorang lelaki warga Indonesia supaya menghubungi pihak kedutaan sekiranya mengalami sebarang masalah dan bukannya melarikan diri dari tahanan.

Majistret Dr Teo Shu Yee memberikan nasihat itu setelah mendengar rayuan peguam lshak Mohd Kari yang mewakili tertuduh, Musliadi Arahman, 39, dalam kes melarikan diri dari tahanan pada November lalu.

"Tindakan itu berlaku di mahkamah ini, seharusnya kamu boleh meminta bantuan melalui pihak penjara untuk menghubungi kedutaan bagi mengetahui perkembangan keluarga," katanya.

Musliadi yang merupakan penganggur membuat pengakuan bersalah sebaik pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Shu Yee.

Musliadi belakang (dua dari kiri) ketika dibawa keluar dari Mahkamah Majistret di sini, pada Isnin.
Musliadi belakang (dua dari kiri) ketika dibawa keluar dari Mahkamah Majistret di sini, pada Isnin.

Berdasarkan pertuduhan, dia didakwa dengan sengaja melakukan tentangan dan halangan yang menyalahi undang-undang iaitu dengan cara melepaskan diri daripada jagaan pegawai pengiring Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) yang mana tertuduh ditahan secara sah di bawah Seksyen 39B(1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Kesalahan itu didakwa dilakukan lebih kurang jam 10.10 pagi di pekarangan Kompleks Mahkamah Alor Gajah, di sini, pada 25 November lalu.

Pendakwaan dijalankan mengikut Seksyen 224 Kanun Keseksaan (KK) yang memperuntukan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, Ishak dalam hujahnya, memohon tertuduh dikenakan hukuman ringan dengan alasan anak guamnya telah menyesali perbuatan yang dilakukan dan tertuduh bertindak sedemikian kerana tertekan selepas mengetahui isteri serta anaknya terbabit dalam kemalangan di Acheh, Indonesia.

Hujahnya lagi, tertuduh yang merupakan penanggung tunggal keluarga melakukan kesalahan itu kerana mengenangkan ibu bapanya yang telah meninggal dunia dalam kejadian tsunami di negara asalnya.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Fiqri Hakim Zamri memohon hukuman setimpal.

Mahkamah kemudiannya menjatuhkan penjara 12 bulan bermula Isnin.

Mengikut fakta kes tertuduh bertindak melarikan diri ke luar kawasan mahkamah ketika diiringi dua kakitangan JKDM dengan cara memanjat pagar.

Susulan itu operasi mengesan tahanan berkenaan telah dilakukan dan berjaya ditangkap semula di kebun durian kira-kira tiga kilometer dari mahkamah.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!