99 tabika Kemas di Terengganu terjejas banjir

Faridah turut sama melakukan kerja-kerja pembersihan ketika Majlis Gotong Royong Skuad Ihsan Madani di bawah lapan agensi KKDW di Tabika Kemas Batu Rakit pada Isnin
Faridah turut sama melakukan kerja-kerja pembersihan ketika Majlis Gotong Royong Skuad Ihsan Madani di bawah lapan agensi KKDW di Tabika Kemas Batu Rakit pada Isnin
A
A
A

KUALA NERUS - Sebanyak 99 premis Taman Bimbingan Kanak-kanak (tabika) milik Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) di Terengganu terjejas dengan anggaran kerugian lebih RM1 juta akibat ditenggelami banjir baru-baru ini.

Pengarah Kemas Terengganu, Dr Faridah Mat berkata, tabika yang terjejas itu melibatkan kira-kira 2,500 murid dan 300 kakitangan di daerah yang terjejas termasuk Besut, Hulu Terengganu, Dungun, Setiu dan Kuala Nerus.

Faridah (kanan) membersihkan dan membaiki pada Majlis Gotong Royong Skuad Ihsan Madani
Faridah (kanan) membersihkan dan membaiki pada Majlis Gotong Royong Skuad Ihsan Madani

"Daripada 99 premis itu, kebanyakannya terletak di Besut, Hulu Terengganu, Dungun, Setiu dan sedikit di Kuala Nerus.

"Tabika itu mengalami kerosakan yang teruk di bahagian bumbung akibat diterbangkan angin ribut. Hari ini kita memulakan gotong-royong pasca banjir bagi membersihkan dan membaiki kerosakan Tabika Kemas Batu Rakit.

"Seramai 100 petugas dari lapan agensi di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) ditugaskan untuk melakukan kerja-kerja pembersihan dan membaiki kerosakan tabika bagi membolehkan premis tersebut dapat beroperasi seperti biasa," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di Majlis Gotong Royong Skuad Ihsan Madani di bawah lapan agensi KKDW di Tabika Kemas Batu Rakit di sini pada Isnin.

Mengulas lanjut, Faridah berkata, laporan kerosakan telah dihantar ke KKDW untuk penilaian lanjut dan proses pembaikan.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Faridah berkata, buat masa sekarang, sesi pembelajaran murid di tabika Kemas yang terjejas itu masih diteruskan.

"Ada yang menumpang di tabika berdekatan sekiranya kerosakan yang berlaku terlalu teruk.

"Sebagai contoh 22 murid tabika Batu Rakit kini menumpang di Tabika Tanjung yang terletak enam kilometer sekali gus keadaan itu agak menyukarkan ibu bapa untuk menghantar mereka kerana kebanyakannya adalah nelayan yang menggunakan motosikal.

"Kita akan tengok sekiranya ada keperluan untuk memindahkan lokasi tabika tersebut ke tempat lain yang lebih selamat dari ancaman banjir dalam masa terdekat," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!