MBI kekal ubah lokasi peniaga kecil
IPOH - Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) kekal dengan keputusan untuk menempatkan 44 peniaga kecil ke MBI Terrace biarpun ada pihak tidak bersetuju dengan tindakan itu.
Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin berkata, pihaknya telah menerima lebih 30 aduan melalui sistem MyAduan MBI sejak awal 2024 berkaitan aktiviti jualan but kereta di hadapan Bangunan MBI.
Susulan itu katanya, MBI bertindak memberi amaran lisan dan menangguhkan tindakan penguatkuasaan demi memberi peluang kepada penjaja mencari rezeki tetapi keadaan menjadi semakin tidak terkawal menyebabkan tindakan segera perlu diambil.
"Oleh itu pengurusan MBI yang telah tiga kali bermesyuarat memutuskan untuk menempatkan semula penjaja-penjaja di hadapan Dataran MBI ke MBI Terrace.
"Kawasan tersebutlah paling sesuai selain untuk mengelakkan pelbagai masalah dan tohmahan yang dilemparkan kepada MBI dalam menangani isu lambakan peniaga tanpa lesen di depan mata MBI sendiri," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Rumaizi berkata, bermula dengan 10 orang peniaga pada Ogos 2024, bilangan mereka terus bertambah kepada 44 orang dan terkini 80 orang pada 15 Disember lalu.
Jelasnya, dengan penambahan bilangan peniaga itu menyebabkan aduan berkaitan kesesakan lalu lintas dan aduan lain juga terus bertambah.
Menurutnya, tindakan MBI menempatkan semula peniaga-peniaga asal ke MBI Terrace merupakan langkah penyelesaian terbaik ketika ini dan mereka juga akan dilesenkan.
Dalam perkembangan berkaitan, Rumaizi berkata, pihak MBI juga mengambil maklum mengenai tambahan 36 peniaga yang akan diterima sebagai senarai nama simpanan untuk mengisi kekosongan jika ada dalam kalangan 44 peniaga itu menolak tawaran.
"Senarai peniaga juga akan disemak untuk diberi tawaran di lokasi tapak atau gerai medan selera atau tapak niaga yang kosong jika ada. Jika keadaan mengizinkan, pihak MBI akan usahakan lokasi yang sesuai untuk penempatan semula dalam kawasan pentadbiran MBI.
"Pihak MBI juga boleh bantu menguruskan penempatan peniaga ‘Car Boot Sales’ tambahan ini ke lokasi tapak jualan pihak swasta di sekitar MBI seperti tapak tempat letak kereta kompleks pasar raya, lokasi-lokasi strategik tumpuan awam sekiranya semua pihak setuju dalam situasi menang-menang," katanya.
Pada 15 Disember lalu, Sinar Harian melaporkan seramai 80 peniaga kecil di Dataran Ipoh di sini, merayu agar tapak jualan sedia ada dikekalkan dan tidak dipindahkan ke tapak baharu seperti diarahkan MBI.
Pengerusi Persatuan Carbooth Dataran MBI, Elham Mifzal Ellias, 30, berkata, penempatan semula peniaga ke MBI Terrace dilihat akan memberi kesan kepada pendapatan mereka berikutan keadaan lokasi yang tidak strategik.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!