Aku Bukan Ustazah drama Melayu tunggal tersenarai Top 5 Google Trends 2024
PERNAH mencetuskan sensasi pada pertengahan tahun ini, sehingga membuatkan siri Aku Bukan Ustazah menjadi satu-satunya drama Melayu yang berjaya menembusi Top 5 rancangan TV dalam Google Trends bagi tahun 2024.
Kejayaan luar biasa itu menyaksikan drama yang pernah menghiasi slot Akasia menduduki tempat keempat dalam carta, bersaing rapat dengan rancangan antarabangsa terutamanya dari Korea yang mendominasi senarai.
Pencapaian itu bukan sahaja membanggakan kru produksi, tetapi juga membuktikan kemampuan industri drama tempatan untuk berdiri seiring dengan produksi antarabangsa.
Membawa nafas baharu ke layar kaca, drama itu mengetengahkan tema kekeluargaan dengan elemen islamik yang memaparkan gaya hidup individu yang berbeza.
Ia sememangnya memberi impak mendalam, membuktikan bahawa penonton masih dahagakan kisah islamik yang penuh pengajaran dan inspirasi.
Melalui pelbagai babak yang penuh emosi, drama ini mengajak penonton merenung realiti kehidupan yang tidak terjangkau, menyingkap hidup satu individu ke individu lain.
Siapa sangka, nama Aminah, Adam, dan Omar kembali mengisi ruang perbualan, membawa penonton mengimbau kembali detik-detik penuh emosi yang pernah mereka lalui sewaktu menonton drama tersebut.
Kejayaan drama itu terbukti dengan lambakan video reaksi di media sosial, yang bukan sahaja mencetuskan gelombang viral di tanah air, tetapi turut meraih perhatian negara jiran.
Semua ini menjadi kenyataan berkat lakonan hebat daripada barisan pelakon Aku Bukan Ustazah antaranya Erysha Emyra, MK K-Clique, Zahiril Adzim, Syad Mutalib, Haneesya Hanee, Shaza Bae, Qistina Khaled, dan Fikhree Bakar, yang berjaya menghidupkan watak masing-masing dengan berkesan.
Istimewanya, kejayaan drama ini turut telah membuatkan peminat setianya teruja dengan kemungkinan kembalinya Aku Bukan Ustazah untuk musim baharu di skrin televisyen.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!