UMNO Kedah anggap lompat parti sebagai oportunis
ALOR SETAR - UMNO Kedah mengutuk sekeras-kerasnya tindakan lompat parti yang disifatkan sebagai tidak beretika, terdesak dan oportunis sekali gus berisiko menjadi barah sehingga mampu meruntuhkan struktur parti.
Ketua Penerangan UMNO Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata, perbuatan itu tidak boleh diterima sama sekali dan menggesa agar parti mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana ahli yang bertindak demikian.
Beliau dalam masa sama turut menyatakan pendirian menyokong tindakan tegas Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berhubung isu terbabit.
"UMNO Kedah mengambil pendirian menyokong penuh ketegasan Presiden memandang serius serta sama sekali menolak tindakan sesetengah ahli parti berpangkat kepimpinan yang dilihat mengadakan perbincangan untuk melompat parti walaupun ia terdiri daripada parti komponen kerajaan sendiri.
"Ia membuktikan pendirian Presiden yang tegas dan komited bagi memelihara kestabilan hubungan antara sesama komponen parti dalam Kerajaan Perpaduan," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Dalam pada itu, beliau berkata, UMNO Kedah juga memohon agar komponen parti dalam Kerajaan Perpaduan tidak sama sekali melayan tindakan tidak bermaruah tersebut.
"UMNO Kedah kekal komited mendukung kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan, namun perlu ada 'garisan' tertentu yang perlu dihormati," ujarnya.
Sebelum ini media melaporkan desas-desus Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz akan menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan turut dikaitkan dengan spekulasi bakal menerajui Selangor menggantikan Datuk Seri Amirudin Shari.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Ahad turut mengesahkan terdapat perbincangan awal bersama Tengku Zafrul berhubung perkara tersebut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!