Hubungan Malaysia-Thailand terus diperkukuh

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika sidang media bersama Perdana Menteri Thailand, Paetongtarn Shinawatra di Perdana Putra, pada Isnin. Foto Bernama
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika sidang media bersama Perdana Menteri Thailand, Paetongtarn Shinawatra di Perdana Putra, pada Isnin. Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memperakui hubungan dua hala Malaysia-Thailand yang kukuh, menekankan kepada komitmen bersama terhadap aspek keamanan, kerjasama ekonomi dan pembangunan serantau.

Dalam sidang akhbar bersama rakan sejawatannya dari Thailand, Paetongtarn Shinawatra, Anwar semasa mengalu-alukan kehadirannya dengan ucapan selamat datang, merujuk beliau sebagai "rakan keluarga", yang jelas menonjolkan hubungan akrab Paetongtarn dengan Malaysia.

Dalam memuji kepimpinan kerajaan Thailand, Perdana Menteri mengakui pencapaian mengagumkan yang telah dicapai negara itu dalam masa empat bulan sahaja selepas Paetongtarn menerajui kerajaan.

"Perdana Menteri Paetongtarn adalah rakan keluarga yang baik, dan kami berbesar hati mengalu-alukannya ke rumah keduanya di Malaysia," kata Anwar.

Paetongtarn kini dalam lawatan rasmi sulungnya selama dua hari ke Malaysia atas jemputan Anwar.

Sebelum sidang media itu, kedua-dua pemimpin itu menghadiri Rundingan Tahunan (AC) Malaysia-Thailand ke-7, yang meninjau kemajuan cemerlang dalam hubungan dan kerjasama dua hala sejak AC terakhir pada 2016.

AC memberi tumpuan kepada usaha mengukuhkan bidang kerjasama utama, termasuk infrastruktur, perdagangan dan keselamatan, memastikan penyiapan semua projek komited tepat pada masanya. Ia termasuk projek jajaran jalan yang menghubungkan ICQS Bukit Kayu Hitam dan CIQ Sadao serta pembinaan jambatan kedua menghubungkan Rantau Panjang dan Sungai Golok, Narathiwat.

Mengenai keamanan serantau, Anwar mengulangi sokongan Malaysia untuk dialog dan inisiatif keamanan komprehensif di selatan Thailand, menekankan kepentingan pembangunan untuk memastikan kestabilan.

Artikel Berkaitan:

"Keamanan dan pembangunan mesti berjalan seiring untuk manfaat Thailand Selatan dan Utara Malaysia," katanya.

Kedua-dua pemimpin juga dalam menangani cabaran mendesak pengurusan air dan tebatan banjir di sepanjang Sungai Kelantan dan Sungai Golok, bersetuju untuk meningkatkan usaha untuk menangani isu-isu ini.

Mereka juga menegaskan komitmen bersama untuk menyelesaikan isu Laut China Selatan secara aman dan konstruktif, mengikut undang-undang antarabangsa, khususnya UNCLOS 1982.

Kerjasama ekonomi kekal sebagai asas kepada hubungan Malaysia-Thailand, dengan kedua-dua negara menyasarkan US$30 bilion dalam perdagangan menjelang 2027. Anwar menyatakan keyakinan terhadap potensi ekonomi yang luas kedua-dua negara, walaupun sasarannya cukup tinggi.

Di peringkat ASEAN, Anwar merakamkan ucapan terima kasih atas sokongan Thailand terhadap Kepemimpinan ASEAN Malaysia pada 2025 dan pendirian bersama mereka terhadap Myanmar, menyokong pelaksanaan penuh 5PC bagi mencapai penyelesaian yang aman dan berkekalan.

Beliau juga menekankan keperluan untuk keahlian penuh Timor-Leste dalam ASEAN dan komited untuk bekerjasama rapat dengan Thailand bagi melaksanakan usaha ini.

Anwar seterusnya mencadangkan penubuhan kumpulan penasihat tidak rasmi untuk Pengerusi ASEAN, yang terdiri daripada bekas pemimpin serantau, termasuk bekas Perdana Menteri Thailand Thaksin Shinawatra, untuk menawarkan kepakaran mereka dalam isu ASEAN.

Sementara itu Paetongtarn dalam kenyataannya merakamkan ucapan terima kasih atas layanan mesra Malaysia dan memperakui kepentingan persahabatan Thai-Malaysia.

"Tujuan utama lawatan saya adalah untuk memperakui kepentingan persahabatan Thailand-Malaysia dan komitmen kami untuk meluaskan kerjasama dalam bidang seperti perdagangan, pelancongan dan keterhubungan sempadan," katanya.

Beliau juga menekankan potensi usaha bersama dalam industri getah dan halal, mengetengahkan Memorandum Persefahaman (MoU) mengenai kerjasama getah dan kebudayaan yang ditandatangani baru-baru ini sebagai langkah ke hadapan dalam memperkukuh hubungan ekonomi dan rakyat.

Perdana Menteri Thailand itu turut menyampaikan jemputan kepada Anwar untuk mengadakan lawatan rasmi ke Thailand.

Terdahulu kedua-dua perdana menteri menyaksikan pemeteraian dua MoU untuk meningkatkan kerjasama dalam Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, serta Industri Getah dan Kerjasama Ekonomi. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!