Along bakar rumah jiran tuntut bayaran
IPOH - Akibat terpedaya dengan iklan peminjam wang haram di media sosial, sebuah keluarga kini hidup dalam ketakutan selepas diugut sindiket along sejak November lalu.
Tindakan agresif ahli sindiket itu menyebabkan kediaman milik wanita dikenali sebagai Chin, 42, dan jirannya di Desa Lawan Kuda dekat Gopeng nyaris terbakar selepas dibaling bom petrol.
Menurut Chin, kejadian itu bermula apabila anak lelakinya berusia 20 tahun ketika itu bekerja di Singapura telah memohon pinjaman Dolar Singapura (SGD) 3,000 (RM9,924) Oktober lalu.
"Sindiket itu telah memberi SGD500 (RM1,564) dan meminta SGD700 (RM2,315) sebagai caj permohonan menyebabkan anaknya memulangkan semula wang tersebut dan menyekat nombor telefon sindiket terbabit.
"Selepas beberapa hari, sindiket itu mula memberi ancaman untuk membakar rumah menyebabkan kami mula membayar wang yang diminta termasuk faedah keseluruhan berjumlah RM31,200," katanya dalam satu sidang media di Wisma MCA Perak di sini pada Isnin.
Chin yang juga suri rumah berkata, meskipun sudah membayar keseluruhan wang tersebut, keluarganya masih menerima ancaman daripada sindiket tersebut.
"Ingatkan kes ini sudah berakhir tetapi pada 15 November lalu, dua lelaki bertindak membaling bom petrol menyebabkan kereta milik suami terbakar.
"Ugutan itu tidak berakhir apabila sekali lagi rumah termasuk dua rumah jiran dibaling bom petrol menyebabkan kerosakan kepada tiga kereta dan sebuah motosikal, Khamis lalu," katanya.
Tambahnya, dua laporan polis telah dibuat berhubung kejadian itu.
Sementara itu, Ketua Biro Pengaduan dan Perkhidmatan Awam MCA Perak, Charles Yuen berkata, perbuatan sindiket itu disifatkan sebagai agresif yang memerlukan campur tangan daripada pihak berkuasa.
"Kita menerima 20 aduan sepanjang tahun ini yang menggunakan modus operandi hampir sama mengugut mangsa menggunakan bom petrol.
"Diharapkan pihak berkuasa serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dapat memantau iklan-iklan berunsurkan penipuan dalam talian agar tiada mangsa lain terjebak dalam sindiket haram ini," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!