Pencuri bagasi 'hand carry' sasar kad kredit, wang tunai

Sebanyak 267 kes kecurian barangan di dalam bagasi 'hand carry' dilaporkan di KLIA sejak dua tahun lalu. - Gambar hiasan (Gambar kecil: Hussein.)
Sebanyak 267 kes kecurian barangan di dalam bagasi 'hand carry' dilaporkan di KLIA sejak dua tahun lalu. - Gambar hiasan (Gambar kecil: Hussein.)
A
A
A

SHAH ALAM - Sebanyak 267 kes kecurian barangan di dalam bagasi 'hand carry' dilaporkan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sejak dua tahun lalu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, seramai 30 warga asing ditahan selepas didapati terbabit dalam kes kecurian yang disyaki berlaku semasa penerbangan antara negara ASEAN mahupun penerbangan domestik di Malaysia.

"Berdasarkan siasatan yang dilakukan, suspek yang terbabit dalam kes ini bergerak secara bersendirian atau berkumpulan antara dua hingga empat orang.

"Suspek yang terbabit dalam kes curi ini secara kebiasaannya adalah daripada kalangan penumpang pesawat," katanya ketika dihubungi pada Isnin.

Hussein berkata, seramai 26 suspek telah ditahan sepanjang tahun ini manakala empat lagi suspek ditahan pada tahun lalu.

"Suspek ditahan oleh kru kabin sesebuah syarikat penerbangan yang mengesan kejadian kecurian sebelum diserahkan kepada pihak polis sebaik tiba di KLIA," katanya.

Beliau berkata, suspek disyaki mengambil kesempatan mencuri barangan milik penumpang lain dengan pelbagai cara termasuk mengambil barang di ruang bagasi.

"Secara lazimnya, suspek akan menunggu sehingga mangsa atau penumpang lain sedang tidur atau semasa lampu dalam pesawat dimalapkan ketika penerbangan jarak jauh," katanya.

Artikel Berkaitan:

Hussein berkata, antara barangan yang menjadi sasaran pencuri ini adalah kad kredit, barang kemas, wang tunai dan dompet.

"Sejak dua tahun lalu, kes kecurian barangan semasa penerbangan mencatatkan peningkatan dengan 33 kes dilaporkan pada 2022, 88 kes pada tahun lalu dan 146 kes sehingga Oktober tahun ini.

"Walaupun lebih 200 laporan polis dibuat, namun hanya 26 kertas siasatan telah dibuka manakala baki siasatan kes tidak dapat diteruskan selepas mangsa gagal memastikan bila barang berkenaan hilang," ujarnya.

Beliau berkata, siasatan juga tidak boleh dijalankan kerana tiada tangkapan dan mangsa telah meneruskan perjalanan ke negara lain atau sudah kembali ke negara asal.

"Ada juga mangsa yang cuai atau lalai selepas mereka sendiri tersalah meletakkan barang berharga milik mereka sehingga menyebabkan kehilangan barang dan membuat laporan polis," katanya.

Sehubungan itu, Hussein menasihatkan penumpang yang membawa bagasi sendiri ke dalam pesawat untuk mengambil langkah-langkah keselamatan seperti memasang kunci tambahan bagi mengelak menjadi mangsa kes kecurian.

“Langkah lain yang boleh diambil adalah meletakkan barangan yang dibawa di hadapan mereka (bahagian kaki), menyimpan di ruang bagasi dalam petak di atas atau di hadapan mereka.

"Penumpang juga disaran untuk segera melaporkan sesuatu kejadian kepada krew penerbangan sekiranya mereka menghadapi kehilangan barang atau mengesan individu yang mencurigakan,” ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!