Bolehkah makan biskut berbentuk haiwan?

ULAMA mengharuskan pembuatan makanan seperti biskut dalam bentuk makhluk bernyawa misalnya haiwan untuk dimakan. -Gambar hiasan/ Foto: CANVA
ULAMA mengharuskan pembuatan makanan seperti biskut dalam bentuk makhluk bernyawa misalnya haiwan untuk dimakan. -Gambar hiasan/ Foto: CANVA
A
A
A

SEKARANG pelbagai variasi biskut boleh didapati di pasaran termasuklah ada di antaranya yang dijual dalam bentuk haiwan comel.

Keunikan itu membuatkan kanak-kanak begitu tertarik dan teruja untuk mendapatkan biskut berbentuk haiwan, di samping menikmatinya.

Namun begitu, terdapat ibu bapa yang bimbang untuk memberikan biskut berbentuk binatang kepada anak masing-masing. Ini kerana bentuknya menyerupai makhluk hidup yang mana perbuatan membuat gambar haiwan secara lengkap dilarang dalam agama.

Persoalannya, bolehkah kita memakan biskut berbentuk haiwan?

Pendakwah Ustaz Azhar Idrus menerusi hantaran terbaharu di laman sosial Facebook miliknya menjelaskan, ulama mengharuskan pembuatan makanan seperti biskut dalam bentuk makhluk bernyawa misalnya haiwan untuk dimakan.

Beliau kemudian mengemukakan pandangan Majlis Fatwa Jordan yang menjelaskan: “Pembuatan sebahagian makanan atas bentuk bertubuh itu tidak salah sekalipun berbentuk makhluk bernyawa kerana ia adalah hidangan untuk dimakan dan tidak dibuat untuk disucikan serta bukan untuk dimuliakan dan seumpamanya”.

“Justeru, harus membuat makanan seperti biskut berbentuk makhluk bernyawa.

“Bahkan, ia juga diharuskan dalam urusan jual beli dan memakannya kerana tidak dikira sebagai mengagungkan makhluk serta seumpamanya,” katanya sebagaimana dipetik menerusi akaun Facebook miliknya pada Ahad.

Artikel Berkaitan:

No Image Caption

Bukan hanya biskut berbentuk haiwan, malah makanan seperti manisan, kek dan seumpamanya yang terdiri dalam bentuk tersebut juga tiada masalah untuk dibuat atau dimakan.

Menerusi artikel #4606: Biskut berbentuk haiwan,mantan Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri menjelaskan, semua jenis makanan itu disediakan untuk dimakan dan telah dianggap ‘dihinakan’ dengan sebab dijamah dan bukannya untuk disucikan apalagi diagung-agungkan.

“Begitu juga kek dan biskut dalam rupa bentuk haiwan itu halal dan diharuskan untuk dimakan selagi mana ia tidak memudaratkan dan mengandungi bahan-bahan bernajis yang diharamkan oleh syarak.

“Ia bertepatan dengan kaedah fiqh iaitu ‘Hukum asal bagi sesuatu perkara adalah harus sehingga datangnya dalil yang menunjukkan kepada keharamannya’,” katanya sepertimana dipetik menerusi laman web Maktabah Albakri.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!