Mara sedia pembiayaan RM1 juta buat kontraktor bumiputera

Hantaran Asyraf Wajdi menerima kunjungan Perkobf di pejabatnya yang dimuat naik di Facebook pada Isnin.
Hantaran Asyraf Wajdi menerima kunjungan Perkobf di pejabatnya yang dimuat naik di Facebook pada Isnin.
A
A
A

SHAH ALAM - Majlis Amanah Rakyat (Mara) menyediakan peluang pembiayaan sehingga RM1 juta buat kontraktor bumiputera melalui Skim Pembiayaan Kontrak Ekspres (SPiKE).

Pengerusinya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, pihaknya menerima kunjungan daripada Persatuan Kontraktor Bumiputera Kelas F Malaysia (Perkobf) bagi membincangkan beberapa cadangan penambahbaikan untuk memudahkan kontraktor menerima kemudahan yang disediakan Mara.

Menurutnya, dengan proses kelulusan pantas dua minggu daripada tarikh penghantaran dokumen lengkap, SPiKE akan membantu kontraktor menampung kos awal projek seperti bahan dan peralatan demi memastikan pelaksanaan berjalan lancar tanpa kekangan kewangan.

"Mara terus komited menyokong kontraktor Bumiputera melalui SPiKE yang menyediakan pembiayaan segera bagi projek kerajaan dan swasta sehingga RM1 juta.

"Selain itu, Perkobf juga menyatakan komitmen mereka untuk menjadi ‘mata’ dan ‘telinga’ Mara dalam memaklumkan isu dihadapi di lapangan, terutamanya berkaitan kebajikan serta sokongan terhadap usahawan kontraktor bumiputera," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Isnin.

Menerusi laman sesawang Mara, antara syarat asas kelayakan adalah warganegara dan bumiputera berumur 18 tahun ke atas, berpengalaman dalam bidang diceburi, menjalankan perniagaan sepenuh masa serta patuh syariah.

Pemohon dikehendaki menggunakan sumbangan modal sendiri tidak kurang 10 peratus kos projek dan bebas daripada disenarai hitam Mara.

Syarat khusus pula adalah kontraktor binaan berdaftar dengan Bahagian Pembangunan Kontraktor dan Usahawan (BPKU) serta Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) dalam kelas G1, G2, G3, G4 dan G5 atau dahulunya dikenali sebagai F, E, D dan C.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Asyraf Wajdi turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada Perkobf di atas kerjasama dan komitmen yang tinggi dalam membantu golongan kontraktor bumiputera di negara ini.

"Bersama-sama kita bangunkan ekosistem keusahawanan yang lebih kukuh untuk masa depan bumiputera," ujarnya lagi.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!