KPT rangka Pelan Pendidikan Tinggi 2025-2035 bagi hala tuju 10 tahun

Zambry
Zambry
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sedang merangka Pelan Pendidikan Tinggi 2025-2035 bagi menggantikan pelan sedia ada yang berakhir hujung tahun depan.

Menterinya, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, pelan tersebut akan melibatkan semua pemegang taruh bagi memastikan matlamat pendidikan tinggi negara dapat dicapai dalam tempoh 10 tahun akan datang.

"Pelan baharu ini untuk menentukan hala tuju apa yang akan terjadi kepada mahasiswa yang keluar daripada universiti dan politeknik, apa sistem pendidikan terbaik dan generasi apa yang kita mahu lahirkan," katanya ketika sidang akhbar pembentangan kad laporan pencapaian KPT 2024 di sini pada Isnin.

Menurutnya, kerangka pelan berkenaan diperincikan oleh Jawatankuasa yang melibatkan pelbagai pihak berasaskan pakar-pakar tempatan dalam bidang masing-masing.

"Kita tidak mengambil pakar luar negara untuk merangka sistem pendidikan negara, tetapi guna pakar tempatan kerana kira tahu apa keperluan. Ini merupakan suatu perubahan besar.

"Yang penting kita merancang secara bersama dengan kepakaran negara kita, melibatkan semua pemegang taruh, duduk sama-sama merangka Pelan Pendidikan Tinggi 2025-2035. Ini lah yang akan menjadi agenda besar untuk KPT," jelasnya.

Ditanya mengenai adakah beliau berpuas hati dengan pencapaian kementerian sepanjang tahun ini, beliau berkata:

"Tidak ada istilah puas hati. Kalau puas hati, itu bermakna ada titik noktahnya," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, KPT sentiasa melakukan penambahbaikan secara berterusan dan kritikan kendiri untuk melihat aspek yang harus diperkemaskan.

"Dunia pendidikan tinggi sangat dinamik dan bergerak pantas dengan keperluan yang perlu kita letakkan.

"Sebagai contoh penekanan terhadap 'plenatary health' akan diberikan walaupun kita sudah tahu banyak isu alam sekitar, keadaan perubahan iklim, keadaan muka bumi dan sebagainya.

"Ini akan menjadi satu lagi ruang baharu dan bidang baharu yang kita akan ketengahkan nanti," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya bercadang untuk menjadikan Malaysia sebagai pusat penyelidikan universiti ASEAN.

Ia bersempena negara ini menjadi tuan rumah ASEAN tahun depan.

"Saya harap idea yang akan dikemukakan ini akan diterima oleh anggota-anggota negara ASEAN," katanya.

Bagi tahun 2024, KPT telah mencapai lima fokus utama yang ditetapkan iaitu penyediaan bakat terbaik negara, pengukuhan ekosistem penyelidikan dan inovasi, pelaksanaan pendekatan baharu program pemindahan dan perkongsian ilmu, pengantarabangsaan pendidikan tinggi dan pemantapan ekosistem pemboleh daya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!