PKR ada ramai tokoh berbakat, tidak terdesak 'curi' pemimpin UMNO - AMK Johor

AMK Johor menyelar kenyataan Ketua Pemuda UMNO yang dilihat cuba menggugat kestabilan politik di dalam Kerajaan Perpaduan. Gambar kecil: Faezuddin
AMK Johor menyelar kenyataan Ketua Pemuda UMNO yang dilihat cuba menggugat kestabilan politik di dalam Kerajaan Perpaduan. Gambar kecil: Faezuddin
A
A
A

JOHOR BAHRU - Angkatan Muda Keadilan (AMK) Johor menyelar kenyataan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhammad Akmal Salleh yang dilihat cuba menggugat kestabilan politik di dalam Kerajaan Perpaduan.

Naib Ketua AMK Johor, Faezuddin Puad berkata, seharusnya Muhammad Akmal bertemu sendiri dengan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz yang masih belum membuat keputusan mengenai keahlian mana-mana parti.

"Sudah tiba masanya... apa YB Akmal Saleh? Hendak ugut Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim? Ugut keluar daripada Kerajaan Perpaduan? Sudah-sudahlah hentikan ugutan sebegini. Selepas Kerajaan Perpaduan runtuh, politik kembali tidak stabil. Inikah hasrat Ketua Pemuda UMNO Malaysia?

"Hentikan ugut PMX. Lebih molek sekiranya Akmal Saleh bertemu empat mata dengan Tengku Zafrul kemudian selesaikan masalah dalaman UMNO yang sedang berlaku seperti yang dinyatakan Tengku Zafrul," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Menurut Faezuddin, sekiranya Tengku Zafrul berniat untuk keluar UMNO sekalipun, jelas ia bukan disebabkan oleh pujukan pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) jauh sekali pujukan Perdana Menteri tetapi kerana masalah dalaman UMNO sendiri.

"Jika kita rujuk kepada kenyataan media Tengku Zafrul semalam, jelas beliau meluahkan rasa kecewa terhadap kepimpinan UMNO khususnya pemimpin UMNO di Selangor yang tidak mengendahkan cadangan dan keluhan yang dikemukakan oleh beliau selama ini.

"Kemudian, sejak isu ini tular, kepimpinan UMNO langsung tidak pernah berhubung dengan Tengku Zafrul minta penjelasan malah terus menerus diserang secara belakang tabir. Siapa yang menyerang, itu Akmal Saleh perlu dapatkan maklumat lanjut daripada Tengku Zafrul.

"Setiausaha Agung Keadilan, Fuziah Salleh pada 13 Disember pun sudah nyatakan belum terima borang daripada Tengku Zafrul. Bahkan dalam kenyataan media Tengku Zafrul semalam, beliau belum putuskan hendak sertai mana-mana wadah baru," katanya.

Artikel Berkaitan:

Faezuddin menegaskan, PKR mempunyai ramai tokoh pemimpin dan tidak pernah terdesak hendak 'mencuri' pemimpin dari UMNO.

"Untuk makluman Akmal Saleh, PKR punyai ramai tokoh pemimpin masa depan yang berbakat, tidaklah kita terdesak hingga mahu ‘mencuri’ pemimpin UMNO.

"Jadi, hentikan ugut atau menyerang rakan-rakan parti komponen dalam Kerajaan Perpaduan," katanya.

Anwar pada Ahad mengesahkan wujudnya perbincangan awal berhubung penyertaan Tengku Zafrul yang juga Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri ke dalam PKR.

Presiden PKR itu dilaporkan berkata, prinsip parti adalah terbuka kepada mana-mana pemimpin yang mampu memberi sumbangan kepada parti, tetapi ia perlu dilakukan dengan cara baik supaya hubungan dengan rakan parti lain, termasuk UMNO tidak terjejas.

Tengku Zafrul dilaporkan kemudiannya mengakui bahawa terdapat perbincangan awal bersama PKR, namun masih tiada sebarang keputusan yang dibuat berhubung penyertaannya ke parti tersebut.

Tengku Zafrul berkata, individu mempunyai hak asasi dan mutlak untuk memilih landasan perjuangan kerana tanpa keserasian, mustahil seseorang itu mampu memberi perkhidmatan yang terbaik.

Sementara itu, Muhammad Akmal menerusi kenyataan di Facebooknya menegaskan memang terdapat usaha untuk mencuri ahli parti kawan dalam Kerajaan Perpaduan.

Beliau berkata, perkara itu disahkan menerusi pengakuan yang dibuat oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim terdapat perbincangan perbincangan awal berhubung penyertaan Tengku Zafrul ke dalam PKR.

"Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pernah ditawarkan menjadi Perdana Menteri tetapi beliau menolak sebab atas prinsip ikhlas dan tidak mahu mengkhianati kawan.

"Adakah keikhlasan Datuk Seri Ahmad Zahid itu dibayar sebegini rupa. Sudah tiba masanya....,” ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!