Polis kesan suspek bakar tiga kenderaan
BAGAN SERAI - Polis giat mengesan suspek yang terlibat membakar tiga kenderaan milik seorang lelaki dalam kejadian di parkir ladang gula, Kuala Gula, Kuala Kurau di sini pada Sabtu lalu.
Ketua Polis Daerah Kerian, Superintenden Juna Yusoff berkata, laporan kejadian itu diterima pada jam 6.12 pagi daripada mangsa berusia 36 tahun.
"Siasatan mendapati sebuah lori, pikap jenis Isuzu dan motosikal yang diparkir berhampiran rumah mangsa telah terbakar.
"Kebakaran itu berjaya dipadamkan oleh sukarelawan bomba. Siasatan lanjut polis mendapati terdapat unsur-unsur khianat," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Isnin.
Menurut beliau, usaha mengesan suspek giat dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu boleh menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kerian di talian 05-7212222 bagi membantu siasatan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!