Tembak mati 'Kopi', empat aktivis haiwan saman MDB, Terengganu

Anjing liar yang diberi nama Kopi mula menjadi tular pada Mac lalu selepas videonya bermain dengan anak kucing terbiar.
Anjing liar yang diberi nama Kopi mula menjadi tular pada Mac lalu selepas videonya bermain dengan anak kucing terbiar.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Empat aktivis haiwan memfailkan saman pemula di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu pada Selasa minggu lalu, terhadap Majlis Daerah Besut (MDB) dan Kerajaan Negeri Terengganu berhubung kematian anjing liar, diberi nama Kopi.

Empat aktivis, Kartini Farah Abd Rahim, S Mukunnan, Hong Hai San dan S Shashi Kumar selaku plaintif mengemukakan saman itu melalui firma guaman Tetuan Raj & Sach, menamakan dua pihak terbabit sebagai defendan pertama dan kedua.

Ketika sidang akhbar di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur di sini pada Isnin, peguam, Rajesh Nagarajan, mewakili semua plaintif berkata, Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu menetapkan pada 15 Januari tahun depan untuk pendegaran saman pemula terbabit.

Menerusi saman pemula itu, plaintif memohon perisytiharan bahawa pembunuhan Kopi oleh MDB, adalah melanggar Seksyen 29 (e) Akta

Kebajikan Haiwan 2015 (AWA 2015). Mereka juga memohon perisytiharan, bahawa tindakan menembak anjing liar itu menggunakan senjata api oleh MDB, telah melanggar Seksyen 30 (1), dan penembakan mengikut Seksyen 30 (2) AWA.

Ia adalah kerana, Seksyen 30 (1) jelas memperuntukkan bahawa penembakan menggunakan senjata api terhadap mana-mana anjing, kucing atau haiwan lain adalah tidak dibenarkan.

Kartini Farah yang mengikrarkan afidavit sokongan berkata, pada jam 1.30 pagi, 6 Oktober lalu, penduduk di Besut dikejutkan dengan beberapa tembakan, lalu keluar untuk menyiasat lanjut.

Beliau berkata, penduduk melihat tiga pegawai MDB memandu di sekeliling kawasan itu menggunakan trak pikap.

Artikel Berkaitan:

"Salah seorang ejen atau pekerja MDB dilihat duduk di dalam trak pikap dari kenderaan itu, menembak seekor anjing terbiar yang dikenali sebagai Kopi.

"Selepas sesi tembakan berakhir, penduduk dan individu yang berada di sekitar kawasan itu menemui bangkai Kopi yang ditinggalkan oleh MDB dengan kesan luka tembakan," katanya.

Kartini Farah berkata, Yang Dipertua MDB, Mohd Sukeri mengeluarkan kenyataan akhbar sekitar 13 Oktober lalu, bahawa tembakan terhadap Kopi dilakukan mengikut peruntukan undang-undang dan prosedur operasi standard untuk menangani anjing liar.

Pada 12 Oktober lalu, Sinar Harian melaporkan, Kopi yang pernah tular pada Mac lalu selepas videonya bermain dengan anak kucing terbiar, di sebuah taman perumahan di Terengganu ditemui mati dipercayai ditembak.

Akaun Facebook My Forever Doggo (MFD) berkongsi video berdurasi 52 saat yang memaparkan anjing liar itu mati akibat kecederaan serius.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!