Malaysia capai sasaran satu juta pelancong India

Tiong King Sing
Tiong King Sing
A
A
A

SHAH ALAM - Malaysia berjaya mencapai sasaran bagi tahun ini untuk menarik kehadiran satu juta pelancong India apabila merekodkan sejumlah 1,009,114 pengunjung dari negara itu antara Januari hingga November 2024.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing berkata, pencapaian itu mencerminkan peningkatan ketara sebanyak 47 peratus berbanding tempoh sama pada 2019 sebelum pandemik Covid-19.

Menurutnya, ia turut mewakili pertumbuhan ketara 71.7 peratus berbanding 2023 yang menggambarkan peningkatan populariti Malaysia sebagai destinasi utama bagi pelancong India.

“Pengenalan visa kemasukan percuma pada Disember 2023 terbukti menjadi inisiatif transformatif dan secara tidak langsung memacu peningkatan ketara melibatkan pelancong India ke Malaysia dan dasar ini telah membuka peluang baharu sektor pelancongan serta memainkan peranan penting dalam pertumbuhan luar biasa ini.

“Sebagai tindak balas terhadap lonjakan tersebut, 2024 menyaksikan pelancaran pelbagai laluan baharu dari India termasuk langkah Indigo Airlines yang memperkenalkan penerbangan terus setiap hari ke Pulau Pinang dan Langkawi bermula Disember 2024 selain laluan sedia ada ke Kuala Lumpur.

“Peningkatan kesalinghubungan dari India ini membantu mengukuhkan lagi Malaysia sebagai destinasi pilihan terutamanya menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Tambah King Sing, usaha promosi Tourism Malaysia di India yang dijalankan dengan kerjasama pengendali dan agensi pelancongan dalam talian (OTA) telah membuahkan hasil yang positif.

Beliau berkata, promosi kolaboratif dan kempen pemasaran yang inovatif telah menonjolkan kekayaan warisan dan budaya Malaysia serta tarikan bertaraf dunia Malaysia kepada khalayak India.

Artikel Berkaitan:

“Tambahan pula, kempen pengiklanan yang meluas merentasi platform digital telah menjana semangat dan meningkatkan kesedaran tentang Malaysia sebagai destinasi yang mesra pelancong.

"Pengiktirafan Malaysia sebagai Destinasi MICE Terbaik 2024 dalam pasaran India telah mengukuhkan lagi reputasinya sekali gus menjadikan ia sebagai pilihan utama syarikat korporat India untuk menganjurkan Mesyuarat, Insentif, Persidangan dan Pameran (MICE).

"Melihat ke hadapan pada 2025, Malaysia bersedia meneruskan kejayaan tahun ini dengan meningkatkan kesalinghubungan, membangunkan produk pelancongan yang disesuaikan dan memperkukuh kerjasama dengan rakan kongsi industri," ujarnya.

Dalam pada itu, King Sing berkata, meskipun negara sedang giat melakukan persiapan bagi Tahun Melawat Malaysia 2026, pihaknya berdedikasi menyediakan pengalaman yang sukar dilupakan kepada pelancong India.

“Perkhidmatan syarikat Indigo telah menjadikan jumlah keseluruhan penerbangan terus dari India ke Malaysia ialah 246 yang merupakan langkah penting dalam memperkukuh rangsangan bagi ketibaan pelancong sempena Tahun Melawat Malaysia 2026.

“Ini secara tidak langsung memperkukuh kesalinghubungan serta menampung permintaan yang semakin meningkat bagi perjalanan antara India dan Malaysia,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!