Lelaki curi, musnah al-Quran ditahan
MEDAN - Seorang lelaki di Medan, Indonesia ditahan polis kerana didakwa mengoyakkan al-Quran selepas mencurinya di Masjid Al-Mahsum di bandar itu bulan lalu.
Menurut laporan Jakarta Post, suspek yang dikenali pasti sebagai Dim, 44, seorang penduduk tempatan diberkas ketika dia sedang berjalan di sekitar masjid Khamis lalu.
Ketua Polis Medan, Pesuruhjaya Kanan Jhony Edizzon berkata, suspek disyaki sedang menunggu masa untuk mengulangi tindakan sama sebelum polis berjaya menahannya.
"Dia bukan bertindak berseorangan. Suspek ialah sebahagian daripada kumpulan yang menghasutnya melakukan kesalahan itu. Polis kini sedang memburu kumpulan tersebut," katanya.
Kumpulan terbabit dipercayai membayar suspek AS$51.10 (RM211.63) sebagai ganjaran.
Menurut Edizzon, suspek ditahan selepas polis menonton rakaman kamera keselamatan CCTV masjid bertarikh 31 Januari yang menunjukkan dia sembahyang di masjid berkenaan sebelum mengambil al-Quran dari almari, mengoyakkannya dan membuang serpihan ke jalan.
"Suspek tidak mengalami masalah mental. Dia bekerja sebagai buruh binaan. Jangan ganggu keamanan Medan. Kami tiada ruang untuk pengganas di negara ini," tegas Edizzon.
Dim akan didakwa di bawah Perkara 156 Kanun Jenayah dan berdepan hukuman penjara selama lima tahun jika didapati bersalah. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!