Haji: Na'im puji TH kekalkan kos, bantuan kewangan
PUTRAJAYA - Keputusan Lembaga Tabung Haji (TH) mengekalkan kos dan bantuan kewangan haji bagi musim 1446H/2025M mendapat perhatian daripada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.
Menerusi kenyataan, beliau turut memuji usaha berterusan TH dalam meneruskan bantuan kewangan haji kepada bakal jemaah.
"Alhamdulillah, saya ucapkan tahniah kepada TH kerana dapat mengekalkan kos haji dan meneruskan bantuan kewangan haji.
"Saya harap bakal jemaah haji yang mendapat tawaran menunaikan ibadat haji untuk membuat persediaan sebaiknya," katanya pada Isnin.
Kadar bayaran haji untuk seorang bakal jemaah Muassasah kumpulan B40 yang kali pertama menunaikan ibadah itu ditetapkan pada kadar RM15,000, manakala RM23,500 untuk kumpulan M40 dan T20 perlu membayar penuh iaitu RM33,300.
Surat tawaran kepada 31,600 bakal jemaah bagi musim haji 1446H/2025M akan dikeluarkan secara berperingkat bermula Isnin.
Dianggarkan bantuan kewangan haji pada musim haji kali ini adalah berjumlah RM261 juta dan ia menjadikan jumlah terkumpul meningkat kepada lebih RM2.8 bilion dalam masa 25 tahun.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!