Warga emas maut dihempap pokok manggis
BENTONG - Seorang lelaki warga emas maut selepas dihempap pokok manggis dalam sebuah kebun di Batu 1, Jalan Teras di sini pada Isnin.
Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, mangsa, Lee Pik Chee, 67, beralamat di Taman Bukit Chamang disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Menurutnya, pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada jam 4.23 petang.
"Lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bentong bersama dua jentera dikerahkan ke tempat kejadian.
"Pasukan bomba menaiki kenderaan pacuan empat roda ke lokasi kejadian berikutan tiada akses jentera bomba dan berjalan kaki kira-kira 1.5 kilometer ke lokasi kejadian," katanya.
Ujarnya, mangsa kemudiannya dikeluarkan dari bawah pokok dengan memotong bahagian pokok menggunakan gergaji berantai.
Jelas beliau, mangsa berjaya dikeluarkan dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!