Trofi Unity Shield milik Perak
IPOH - Perlawanan edisi kedua trofi Unity Shield di antara Perak dan Kedah memihak tuan rumah dengan kemenangan 3-1 di Stadium Perak, di sini malam ini.
Kemenangan tersebut disaksikan oleh seramai 17,500 penyokong yang memenuhi stadium.
Perak bermula garang pada awal permainan apabila berjaya menghadiahkan jaringan seawal minit ke-4 melalui kapten pasukan, Shahrul Saad.
Tersentak dengan jaringan itu, Kedah cuba bangkit untuk menyamakan kedudukan melalui percubaan Baddrol Bakhtiar pada minit ke-6 namun tendangannya sekadar melewati palang gol.
Serangan demi serangan diatur pasukan lawan ke kubu Perak namun tidak berjaya.
Perak kemudiannya mencipta peluang namun rembatan lemah Leandro mudah ditangkap penjaga gol Kedah, Mohd Ifwat Akmal.
Skuad Kejor Yeop Kejor kemudiannya membuat pertukaran pertama memasukkan Idris Ahmad menggantikan Amirul Azhan yang mengalami kecederaan.
Asakan demi asakan kemudiannya dilakukan anak buah Mehmed Durakovic untuk menambah jaringan.
Peluang terbaik dimiliki Perak pada minit ke-32 namun cubaan J Partiban berjaya ditepis keluar Mohd Ifwat Akmal.
Selang beberapa minit kemudian, Shahrel Fikri pula membuat percubaan tetapi berjaya ditampan penjaga gol menerusi hantaran Careca.
Kad kuning pertama perlawanan dilayangkan kepada kapten Kedah, Baddrol Bakhtiar kerana mengasari Leandro.
Perak kemudian melebarkan jaringan menerusi rembatan Shahrel Fikri menyambar hantaran De Paula.
Percubaan terbaik Kedah hadir pada minit-minit akhir separuh masa pertama, namun sepakan Renan Da Silva berjaya ditampan keluar Mohammad Nasrullah Abdul Aziz.
Bermula babak kedua perlawanan, pasukan pelawat bermula garang pada minit 47 menerusi percubaan import baharu mereka, Tchetche Kipre namun diselamatkan penjaga gol tuan rumah.
Anthony Golec kemudiannya dilayangkan kad kuning kerana mengasari Tchetche Kipre.
Skuad Helang Merah selepas itu membuat dua pertukaran mengeluarkan Zaquan Adha dan Amin Adam Lazarter dengan diganti Fadzrul Danel dan Mohammad Fayadh Zulkifli.
Hasilnya percaturan pengendali Kedah, Aidil Sharin Sahak itu, Kpah Sherman berjaya menjaringkan gol pada minit-68 selepas penjaga gol gagal menampan kemas rembatan Fayadh menjadikan kedudukan 2-1.
Kegembiraan Kedah merapatkan jurang hanyalah sementara apabila Careca menambah derita mereka dengan menjaringkan gol ketiga Perak pada minit ke-78.
Keputusan tersebut kekal sehingga tamat perlawanan sekaligus menjadi menobatkan Perak selaku pemenang Unity Shield tahun 2020.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!