Tebing Sungai Kelantan runtuh
KOTA BHARU - Tebing Sungai Kelantan sepanjang kira-kira 70 meter di belakang kondominium Pelangi Mall berdekatan kafe JL Fara di Jalan Pasar Lama, di sini, runtuh pada Isnin.
Kejadian berlaku pada jam 1 tengah hari disedari oleh pekerja kafe berkenaan yang mendengar bunyi pokok tumbang.
Turut runtuh, konkrit laluan pejalan kaki di tebing berkenaan.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu melalui peniaga di kawasan berkenaan dan memasang pita garisan kuning bagi melarang orang ramai memasuki kawasan.
“Saya sudah arahkan anggota untuk mengawasi lokasi runtuhan.
“Orang ramai dinasihatkan tidak berada di kawasan bagi menggelakkan bahaya,” katanya kepada pemberita di sini pada Isnin.
Sementara itu, penduduk kondominum, Lim Jan Ngoh, 79, berkata, amat terkejut melihat runtuhan teruk berkenaan kerana laluan itu menjadi tempat dia berjonging pada setiap pagi.
“Mujur cuaca hujan hari ini saya tidak berjoging di kawasan ini sebelum runtuh.
“Saya tinggal di tingkat 23, paling tinggi di kondominium ini, jadi sangat risau dan takut dengan keadaan runtuhan,” katanya.
Dalam pada itu, seorang peniaga, Mohd Rozi Abdul Rahim berkata, 52, berkata, dia bimbang runtuhan itu akan lebih teruk dan menjejaskan perniagaannya yang terletak berdekatan tempat kejadian.
“Saya baru setahun berniaga di kawasan ini dan laris kerana ramai pengunjung.
“Kebiasaannya lebih ramai datang beriadah di tepi Sungai Kelantan pada waktu petang dan hujung minggu,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!