Tinggalkan parti sertai rakan gabungan tak patut jadi budaya - Saarani

Saarani (tengah) ketika menyempurnakan Majlis Apresiasi Gerakan Koperasi Negeri Perak Tahun 2024 di Royal Perak Golf Kelab pada Isnin.
Saarani (tengah) ketika menyempurnakan Majlis Apresiasi Gerakan Koperasi Negeri Perak Tahun 2024 di Royal Perak Golf Kelab pada Isnin.
A
A
A

IPOH - Tindakan ahli atau pemimpin UMNO meninggalkan parti untuk menyertai parti di dalam gabungan kerajaan tidak seharusnya dijadikan budaya.

Pengerusi UMNO Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, tindakan tersebut perlu dibendung kerana ia akan menghakis kesetiaan seseorang terhadap parti.

Beliau turut senada dengan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi supaya mana-mana parti di dalam kerajaan tidak membenarkan sesama ahli meninggalkan parti untuk menyertai parti lain di dalam gabungan.

"Sebagai orang politik saya berpandangan bagi mana-mana gabungan elakkan daripada membiarkan perkara itu (lompat parti) berlaku sebab ia akan menimbul rasa curiga, rasa hilang kepercayaan antara satu sama lain bahawa ahli-ahli parti pun tidak perlu untuk bersetia dengan satu-satu parti.

"Jadi untuk tujuan jangka masa panjang, mana-mana gabungan tak baik. Saya bukan sahaja merujuk kepada isu Tengku Zafrul (Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz), tetapi kepada sesiapa pun lah," katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Apresiasi Gerakan Koperasi Negeri Perak Tahun 2024 di Royal Perak Golf Kelab di sini pada Isnin.

Saarani berkata, jika perbuatan meninggalkan parti itu tidak dibendung, dibimbangi akan menjadi budaya.

Jelasnya, ia merupakan satu signal yang salah kepada generasi muda terhadap kesetiaan di dalam parti politik.

Artikel Berkaitan:

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Ahad mengesahkan wujudnya perbincangan awal berhubung penyertaan Tengku Zafrul yang juga Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri ke dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Presiden PKR itu dilaporkan berkata, prinsip parti adalah terbuka kepada mana-mana pemimpin yang mampu memberi sumbangan kepada parti, tetapi ia perlu dilakukan dengan cara baik supaya hubungan dengan rakan parti lain, termasuk UMNO tidak terjejas.

Tengku Zafrul juga dilaporkan mengakui bahawa terdapat perbincangan awal bersama PKR, namun masih tiada sebarang keputusan yang dibuat berhubung penyertaannya ke parti tersebut.

Beliau berkata, individu mempunyai hak asasi dan mutlak untuk memilih landasan perjuangan kerana tanpa keserasian, mustahil seseorang itu mampu memberi perkhidmatan yang terbaik.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!