Tiada sambutan ambang tahun baru di Negeri Sembilan
KUALA PILAH - [DIKEMAS KINI] Kerajaan Negeri Sembilan tidak akan menganjurkan sebarang acara rasmi bagi sambutan Ambang Tahun Baharu 2025 dengan mengambil kira kejadian banjir yang berlaku di negeri ini selain mengelakkan pembaziran.
Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, ia disebabkan kejadian banjir yang menjejaskan tiga daerah di negeri ini serta negeri-negeri yang terkesan termasuk menghormati solidariti Palestin sejak tahun lalu.
"Kita tidak ada perancangan untuk mengadakan sambutan berkenaan tetapi terpulang kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atau pihak swasta kerana kadang-kadang mereka terpaksa adakan untuk menarik kehadiran pelancong ataupun tetamu mereka.
"Justeru mereka buat sedikit bunga api, sambutan yang sederhana dan kita Insya-ALLAH secara biasa adakan (bacaan yasin dan doa selamat) di masjid dan surau serta di tempat ibadah masing-masing," katanya.
Beliau berkata demikian ketika temui pemberita selepas selesai Majlis Penyerahan Sumbangan Wang Ihsan Mangsa Banjir Daerah Kuala Pilah di Dewan Besar Dangi pada Isnin.
Pada majlis berkenaan, seramai 106 Ketua Isi Rumah (KIR) menerima bantuan berupa wang tunai serta barangan keperluan harian.
Dalam pada itu, Aminuddin berkata, kerajaan negeri akan menyalurkan sumbangan RM1,000 kepada setiap lebih 700 KIR yang terjejas banjir baru-baru ini.
Ketika ditanya mengenai saranan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mahu parti itu mengadakan pemilihan segera bagi membolehkan proses peralihan kepimpinan, Aminuddin menyatakan tempoh pemilihan tersebut masih awal lagi.
"(Pemilihan) lama lagi. Kita ikut peraturan yang telah ditetapkan oleh Majlis Pimpinan Tertinggi Keadilan. Mungkin (kita adakan) sebelum Jun," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!