Kemajuan ECRL capai 76.06 peratus setakat November 2024

Darwis ketika berucap pada majlis menandatangani Memorandum Persefahaman UCYP University dan MRL Sdn Bhd pada Isnin
Darwis ketika berucap pada majlis menandatangani Memorandum Persefahaman UCYP University dan MRL Sdn Bhd pada Isnin
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kemajuan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) mencapai 76.06 peratus secara keseluruhan setakat November 2024.

Ketua Pegawai Eksekutif MRL Sdn Bhd, Datuk Seri Darwis Abdul Razak berkata, kemajuan itu berada pada landasan yang baik untuk projek siap pada bulan Disember 2026 bagi jajaran Kota Bharu ke Terminal Bersepadu Gombak dan seterusnya Gombak sehingga ke Jalan Kastampada bulan Disember 2027.

Sehubungan itu, menurutnya negeri Pahang khususnya telah mencatatkan status kemajuan yang signifikan dengan peratusan kemajuan kerja sebanyak 78.82 peratus dalam tempoh yang sama.

"Sepertimana yang diketahui umum, jajaran ECRL sepanjang kira-kira 258 kilometer di negeri Pahang melibatkan pembinaan tujuh stesen.

"ECRL adalah projek yang berimpak tinggi yang akan menghubungkan taman-taman perindustrian, pelabuhan, bandar utama dan zon pelancongan serta menambahbaik kesalinghubungan dengan rangkaian rel sedia ada di Semenanjung.

"Menjelang tahun 2025, projek ECRL akan memasuki fasa persediaan untuk pengoperasian. Oleh demikian, dianggarkan hampir 1,500 tenaga kerja tempatan akan diperlukan," katanya ketika berucap pada majlis menandatangani Memorandum Persefahaman UCYP University dan MRL Sdn Bhd di sini pada Isnin.

Turut hadir, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail

Tambah beliau, peluang pekerjaan yang ditawarkan merangkumi pelbagai bidang kepakaran, termasuk teknikal, pengurusan, dan operasi.

Artikel Berkaitan:

"Justeru, persiapan dan latihan yang rapi terhadap tenaga kerja tempatan adalah amat penting untuk memastikan pengoperasian ECRL berjalan dengan selamat, cekap, dan efisien.

"Sebagai permulaan, pembangunan modul latihan berkaitan sistem kereta api China akan dibantu dan dilaksanakan bersama kontraktor utama Projek ECRL," jelasnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!