Legenda tabla India, Zakir Hussain meninggal dunia

Zakir menerima rawatan untuk penyakit jantung sejak dua minggu lepas dan meninggal dunia awal pagi Isnin. - Foto Reuters
Zakir menerima rawatan untuk penyakit jantung sejak dua minggu lepas dan meninggal dunia awal pagi Isnin. - Foto Reuters
A
A
A

MAESTRO tabla terkenal India, Zakir Hussain yang pernah memenangi empat Anugerah Grammy meninggal dunia akibat komplikasi, idiopathic pulmonary fibrosis di San Francisco, Amerika Syarikat (AS) pada usia 73 tahun.

Beliau menghembuskan nafas terakhir pada jam 4 petang waktu tempatan, Isnin di sebuah hospital swasta di negara itu.

Zakir dimasukkan hospital berkenaan dua minggu lalu bagi mendapatkan rawatan berkaitan paru-paru dan kemudian dipindahkan ke unit rawatan rapi (ICU) selepas keadaannya semakin merosot.

Perkara itu disahkan keluarganya dalam satu kenyataan kepada media India.

Adiknya Khurshid Aulia memberitahu, Zakir meninggalkan mereka dalam keadaaan tenang.

“Beliau ‘pergi’ dalam keadaan yang cukup tenang selepas mesin ventilasi dihentikan kira-kira pukul 4 petang waktu San Francisco,” katanya.

Dilahirkan pada 9 Mac 1951, Zakir Hussain merupakan anak kepada seorang lagi legenda tabla India, Alla Rakha.

Zakir meninggalkan isteri Antonia Minnecola dan dua anak perempuan, Anisa Qureshi serta Isabella Qureshi.

Artikel Berkaitan:

Dalam kenyataan keluarga, Zakir meninggalkan legasi luar biasa kepada dunia dan legasi itu akan terus kekal untuk generasi akan datang.

Sepanjang kerjaya yang menjangkau enam dekad, Zakir berkolaborasi dengan ramai artis terkenal dari dalam dan luar negara.

Salah satu persembahan yang mencetus fenomena adalah pada tahun 1973 bersama gitaris Inggeris John McLaughlin, pemain biola L Shankar dan pemain perkusi TH ‘Vikku’ Vinayakram yang menggabungkan muzik klasik India dengan elemen jazz, mencipta genre fusion yang belum pernah didengar.

Memulakan perjalanan seninya seawal usia tujuh tahun, beliau berkolaborasi dengan ramai ikon muzik India seperti Ravi Shankar, Ali Akbar Khan dan Shivkumar Sharma.

Kolaborasinya dengan pemuzik Barat seperti Yo-Yo Ma, Charles Lloyd, Bela Fleck, Edgar Meyer, Mickey Hart dan George Harrison turut membawa muzik klasik India ke pentas dunia, mengukuhkan statusnya sebagai duta budaya global.

Zakir pernah memenangi empat Anugerah Grammy sepanjang kariernya, termasuk tiga anugerah di acara Grammy ke-66 tahun ini.

Sebagai salah seorang pemuzik klasik India paling dihormati, beliau telah menerima pelbagai anugerah tertinggi kebangsaan termasuk Padma Shri pada tahun 1988, Padma Bhushan pada tahun 2002, dan Padma Vibhushan pada tahun 2023. - Awani

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!