Tiga sekeluarga maut: Sempat pangku, ajar adik mengucap sebelum 'pergi'
KOTA TINGGI – “Saya sempat pangku adik, ajar dia mengucap sebelum dia ‘pergi’ buat selama-lamanya,”
Demikian kata Mohd Nazim Md Yusuf, 42, abang kepada Muhamad Izuddin, 36, yang maut dalam nahas dua kenderaan di Kilometer (KM) 45 Jalan Mersing-Kota Tinggi, berhampiran simpang masuk ke Ladang Arami Jaya, di sini pada Ahad.
Menurut Mohd Nazim, nahas berkenaan turut mengorbankan ibunya, Rosnah Salleh, 65, dan bapanya, Md Yusuf Mukhtar, 71.
“Sebaik dimaklumkan mengenai kemalangan itu, saya terus pergi ke tempat kejadian nak tengok dan saya dapati adik saya (Muhammad Izuddin) dan anak saudara saya (Athiyyah Nur Sofia Mohamed Izuddin) masih hidup.
“Saya terus memangku Izuddin dan dia bagitau rasa sakit...saya ajar dia mengucap sebelum ambulans bawa dia ke hospital (Hospital Mersing). Saya diberitahu dia meninggal di sana.
“Saya cari ibu dan bapa saya, tapi kedua-dua mereka saya tengok dah meninggal dunia di tempat kemalangan itu,” katanya yang merupakan anak sulung daripada enam beradik.
Jenazah tiga beranak itu dikebumikan di dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Felcra Kampung Sungai Ara petang Isnin yang juga merupakan tempat di mana isteri Izuddin dikebumikan dua tahun lalu.
Dalam pada itu, Mohd Nazim yang bekerja di kilang sawit di Felcra berkenaan berkata, bapanya merupakan seorang peneroka sementara ibunya pula merupakan Pengerusi Pertubuhan Wanita Felcra Dinamis (Wadira) sementara adiknya, Izuddin pula bekerja sebagai juruteknik di sebuah kilang di Johor Bahru.
"Anak perempuan Izuddin, Athiyyah Nur Sofia dijaga datuk dan neneknya sejak berusia setahun.
"Setiap hujung minggu, Izuddin akan pulang ke rumah keluarganya itu bagi menjenguk anaknya," katanya.
Ketika ditanya, siapa yang akan menjaga anak saudaranya itu kelak, Mohd Nazim berkata, dia akan bertanyakan kepada kanak-kanak itu terlebih dahulu.
“Saya akan tanya dia dulu, nak tinggal dengan siapa? Bagaimanapun katanya, ia terpulang kepada kemahuan anak saudaranya itu.
“Sama ada saya dan isteri akan menjaganya atau ibu saudara sebelah arwah ibunya akan menjaganya, ia terpulang kepada kemahuan dia (Athiyyah Nur Sofia).
“Apa pun, saya sangat berharap keadilan untuk keluarga saya kerana dalam kejadian tersebut adik dan kedua ibu bapa saya tidak bersalah dan dilanggar kereta yang terbabas,” katanya.
Terdahulu, Ketua Polis Daerah Mersing, Superintendan Abdul Razak Abdullah Sani berkata, polis menerima maklumat kemalangan itu kira-kira jam 8.30 malam melibatkan dua buah kereta jenis Toyota Vios dan Proton Persona.
Menurut Abdul Razak, siasatan awal mendapati kereta Toyota Vios yang dipandu oleh seorang lelaki warga tempatan berumur 28 tahun dari arah Kuantan menuju ke Johor Bahru dipercayai telah terbabas dan memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan Proton Persona dinaiki empat sekeluarga itu dari arah Kota Tinggi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!