82 peratus pengembara Malaysia cenderung kepada pelancongan hijau
SHAH ALAM - Kajian baharu yang dijalankan platform pelancongan terkemuka di Asia Tenggara, Traveloka dengan kerjasama YouGov mendedahkan sebanyak 82 peratus pengembara Malaysia lebih cenderung kepada pelancongan hijau.
Perkara itu sekali gus menempatkan peratusan lebih tinggi berbanding purata di Asia Pasifik.
Presidennya, Caesar Indra berkata, 82 peratus itu memainkan peranan penting bagi pilihan pelancongan pengembara Malaysia dan menjadi salah satu sebab dalam membuat sebarang keputusan.
“Ia sejajar dengan purata serantau (Asia-Pasifik) sebanyak 80 peratus dan membantu dalam mengetengahkan peluang bagi penginapan mesra alam serta hotel dengan persekitaran hijau termasuk menjalankan pelancongan eko atau aktiviti berasaskan komuniti di Malaysia untuk meraih tarikan dalam pasaran.
“Ia juga mempengaruhi salah satu faktor penyumbang peratusan dalam kajian berkenaan iaitu, Pengembara Malaysia: Ketenangan di Kawasan Pergunungan Bagi Pelancongan Santai.
“Kajian mendedahkan berehat dan memulihkan tenaga merupakan tujuan utama 31 peratus rakyat Malaysia memilih untuk menjalani pelancongan santai serta ini merupakan catatan peratusan yang lebih tinggi berbanding purata Asia-Pasifik sebanyak 26 peratus,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Tambah Caesar, kebanyakkan pengembara di Malaysia lebih cenderung memilih destinasi berunsurkan alam semula jadi dengan kawasan pergunungan mendahului senarai pemilihan sebanyak 59 peratus, diikuti 57 peratus bagi kawasan pantai dan 42 peratus bagi tapak budaya serta sejarah.
Katanya, faktor lain yang mempengaruhi peratusan dalam kajian berkenaan ialah Pelancongan Domestik Menjadi Pilihan Utama, Harga Memainkan Peranan Dalam Membuat Keputusan dan Pendekatan Utama Digital: Media Sosial serta Platform Pelancongan Mentakrifkan Cara Baharu Merancang Percutian.
“Berkenaan kajian pula, ia bertajuk ‘Travel Redefined: Understanding and Catering to the Diverse Needs of APAC Travellers’ dan hasilnya kami kutip daripada 12,000 responden meliputi sembilan negara dengan kira-kira 1,000 responden dari Malaysia.
“Kajian ini mendedahkan maklumat tabiat dan kecenderungan pelancong semakin berkembang serta membentuk landskap pelancongan di Asia Pasifik. Ia juga memberikan maklumat bersama tindakan yang boleh diambil dalam menjangkakan trend atau menghasilkan pengalaman pengembara bermakna untuk tahun 2025 serta tahun seterusnya,” ujarnya.
Menurut beliau, Asia Pasifik merupakan sebuah rantau dengan peluang yang luas, namun kepelbagaian budayanya memerlukan kreativiti dan pendekatan tersendiri.
Jelasnya, untuk berjaya dalam landskap pelancongan dinamik, penyedia pelancongan perlu mempunyai pemahaman tinggi terhadap keperluan unit pasaran yang pelbagai.
“Kejayaan boleh dikecapi dengan mengolah strategi inovatif melalui dapatan kajian sekali gus membawa pengembara lebih dekat kepada pengalaman yang mereka mahukan,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!